Perbadanan TAIB laksana penggunaan kod QR

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) telah memperkenalkan penggunaan Kod QR BruHealth (gambar bawah) di semua premis dan cawangannya bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam memantau pengesanan kontak dan memastikan penjarakan sosial yang terkawal.

Oleh itu, para pelanggan dan pengunjung diperlukan untuk mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki dan sebelum meninggalkan premis atau pun cawangan TAIB.

Dalam hubungan itu, Perbadanan TAIB dalam kenyataannya menyarankan para pelanggan dan pengunjung untuk memuat turun dan mendaftar di aplikasi BruHealth sebelum mengunjungi mana-mana premis dan cawangan TAIB.

Manakala bagi pengunjung yang tidak dapat memuat turun aplikasi BruHealth, mereka diperlukan untuk mencatat butir peribadi di ruang catatan yang disediakan.

Kerjasama orang ramai dalam mematuhi langkah-langkah berkenaan adalah sangat dihargai dalam usaha sama menangani situasi COVID-19 ini, tambah kenyataan.

Untuk makluman, pelanggan juga boleh melakukan pelbagai perkhidmatan melalui perbankan Internet atau melalui mudah alih dengan memuat turun aplikasi TAIB.