Perbaiki bacaan Al-Quran secara murattal

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Seramai 58 orang peserta lelaki yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, jemaah masjid dan orang ramai telah mengikuti Bengkel Asas Menghalusi Bacaan Al-Quran Secara Murattal yang diungkayahkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh.

Bengkel yang berlangsung di masjid berkenaan diadakan selama 15 malam dalam tempoh tiga minggu berturut-turut kecuali Khamis, dengan bimbingan Penolong Pegawai Agama Kementerian Pertahanan, Haji Rosli bin Haji Batang dan berakhir dengan majlis penutup, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penutup tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang yang turut menyampaikan cenderahati kepada tenaga pengajar dan para peserta bengkel.

Antara objektif dan tujuan bengkel berkenaan adalah untuk menghalusi dan meningkatkan mutu bacaan Al-Quran secara murattal bagi para jemaah masjid dan orang ramai.

Di samping itu juga untuk memperbaiki bacaan Al-Quran secara murattal sama ada dari segi fasahah, tajwid, makhraj huruf dan lain-lain serta memperbaiki bacaan yang betul, sempurna dan alunan suara yang merdu. Ia juga diadakan untuk melahirkan ramai jemaah yang mampu tampil untuk membaca Al-Quran secara murattal dengan baik dan sempurna.

Antara yang mengikuti Bengkel Asas Menghalusi Bacaan Al-Quran Secara Murattal sempena Awal Tahun Hijrah 1441.