Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbaiki hidup golongan kurang berkemampuan

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 17 Mac – Bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan, Gabungan Alumni dan Mahasiswa/Mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah mengadakan Program Bina Ukhwah 2017 yang diadakan di salah sebuah rumah terdiri dari keluarga yang kurang berkemampuan di Kampung Lamunin, Daerah Tutong, petang tadi.

    Program berkenaan adalah program khidmat kemasyarakatan yang diinspirasikan oleh sekumpulan belia yang terdiri daripada alumni dan mahasiswa serta mahasiswi UBD dan berkembang dengan penglibatan alumni serta mahasiswa dan mahasiswi dari institusi pengajian tinggi lainnya.

    Program itu mengenal pasti tempat-tempat tinggal keluarga kurang berkemampuan dan boleh mendatangkan bahaya kepada mereka untuk dibaik pulih dan diubah suai bagi memberikan keselesaan tempat tinggal dan keselamatan kepada keluarga tersebut.

    Ia mula dijalankan petang tadi dan akan dilaratkan selama tiga hari pada sebelah petang iaitu esok sehingga 20 Mac ini yang mana program tersebut melibatkan peserta-peserta program memindah barang, membersihkan kawasan rumah sekali gus kerja membaik pulih rumah berkenaan oleh Yusly Contractor.

    Program Bina Ukhwah 2017 ini dimulakan dengan melibatkan kempen kebersihan di hari pertama program.
    Program Bina Ukhwah 2017 ini dimulakan dengan melibatkan kempen kebersihan di hari pertama program.

    Program ini mengumpulkan dana daripada para dermawan sama ada dari segi kewangan ataupun logistik dan menyatukan sukarelawan-sukarelawan dari pelbagai latar belakang untuk membantu berdasarkan kemahiran masing-masing.

    Dalam program itu, sebuah rumah yang dalam keadaan daif di Kampung Lamunin telah terpilih untuk diperbaiki dengan sumbangan daripada seorang dermawan yang menanggung semua perbelanjaan pengubahsuaian, sokongan daripada Majlis Perundingan Kampung Lamunin, penyumbang-penyumbang dan sukarelawan-sukarelawan daripada mahasiswa dan mahasiswi serta alumni UBD, UTB dan UNISSA.

    Antara objektif program itu termasuk menyatukan masyarakat berbilang latar belakang melalui platform kebajikan bagi membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan untuk memiliki tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda