Perbaiki kemudahan sekolah demi kemaslahatan pelajar

DAKAR – Junior Diakhate, yang melancarkan misi untuk mengubahsuai tandas yang usang di sekolah-sekolah di negara ini secara bebas untuk pelajar perempuan, baru sahaja memulakan projek lain untuk memperbaiki keadaan bilik darjah menjelang peperiksaan diploma kebangsaan.

“Lihat, dengan hujan hari ini dan semalam, bilik darjah benar-benar dibanjiri air,” kata Junior Diakhate, seorang guru sekolah rendah dan pengasas Persatuan Tindakan Orang Sederhana, menunjuk ke arah kelas dengan kakinya di perairan di Sekolah Menengah Yoff.

Di daerah Dakar yang terkenal ini, lelaki berusia 33 tahun itu menyaksikan hujan turun di atas meja melalui lubang di bumbung yang terbuka. Dari 14 September, kira-kira 387 pelajar sepatutnya mengikuti jadual ini untuk lulus Brevet, peperiksaan diploma kebangsaan yang menandakan bera-khirnya sekolah menengah.

“Kami tidak punya pilihan, anak-anak ini tidak dapat dipindahkan. Tidak ada sekolah lain yang dapat menampung mereka,” katanya kepada media. Pada akhir bulan Ogos, Diakhate dan rakannya diminta oleh pentadbiran Sekolah Menengah Yoff untuk memperbaiki enam bilik darjah sebelum peperiksaan.

“Tanpa persatuan dan usaha mereka, sama sekali tidak mungkin menjadi tuan rumah kepada pelajar-pelajar ini untuk Brevet pada bulan September,” kata Awa Sarr Ndiaye, ketua sekolah menengah Yoff, yang bertanggungjawab mengatur peperiksaan untuk semua sekolah di daerah itu.

Pemandangan dari udara Sekolah Menengah Yoff. – Xinhua

Diakhate berada di dalam salah sebuah kelas yang hendak diubahsuai.- Xinhua

Dari 30 bilik darjah di sekolah menengahnya, hanya sedozen yang tidak benar-benar rosak dan tetap dapat menampung 387 pelajar untuk peperiksaan.

“Masalah ini berulang dan pertubuhan kami mempunyai anggaran yang sedikit. Contohnya, kami mempunyai 2,048 pelajar di sini, dan kami bergantung sepenuhnya kepada sumbangan pelajar dan ibu bapa untuk membuat pembaikan,” kata ketua sekolah itu, mengakui usaha yang dilakukan oleh Diakhate.

“Mereka cuba memperbaiki bilik kelas seberapa mampu yang mungkin,” tambahnya.

Meski mendapat peruntukan untuk melakukan pembaikan, ia tetap masih tidak mencukupi. Bagaimanapun Diakhate dan pasukannya telah menemui penyelesaian mendesak untuk mengubahsuai bilik darjah, meminta sumbangan dari internet.

Terima kasih kepada 15,000 pengikutnya di Twitter, guru muda itu me-nerima kira-kira 2 juta Franc CFA (sekitar 3,000 euro) daripada kira-kira 300 penderma, yang kebanyakannya tidak dikenali.

“Di sana, kami sedang dalam proses pembaikan empat bilik, salah satunya sudah beroperasi, hanya tinggal dua bilik sahaja lagi dan tidak lama lagi anak-anak akan dapat menduduki peperiksaan mereka dalam keadaan yang sangat baik. Kami berjaya melakukannya hasil pertolongan daripada orang ramai,” jelas Diakhate.

Pemuda itu semenangnya sudah terbiasa mengumpul sumbangan daripada internet, di mana dia sebelum ini telah melancarkan kempen untuk mengumpulkan wang bagi memerangi COVID-19 dan pengubahsuaian sekolah, termasuk tandas, dan pekerjaan kecil di dalam kelas.

Di Dakar, Diakhate dan pasukannya telah membantu enam pertubuhan di ibu kota tahun ini dan tidak berniat untuk berhenti di sana. “Kami juga akan pergi ke Utara, ke Podor, jauh dari bandar-bandar besar dan ke bandar-bandar kecil untuk mengubahsuai bangunan,” katanya.

“Kebanyakan keadaan sekolah di negeri ini tidak memuaskan. Masyarakat perlu lebih terlibat, kerana ia adalah kepentingan awam. Kita tidak perlu lagi menunggu bantuan kerajaan, kita perlu melakukannya sendiri,“ kata guru muda itu. Bangga dengan kerjanya, dia memeriksa kelas pertama yang disiapkan oleh pasukannya, di mana hanya beberapa bahagian sahaja lagi untuk disiapkan seperti tingkap yang belum dipasang. – Xinhua