Perbaiki mutu perkhidmatan kesihatan

Oleh Sim Y.H. dan Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Kementerian Kesihatan disarankan untuk membuat kajian mengenai dengan isu-isu yang menjadi kebimbangan bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga daripada pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Ini termasuklah isu pelanggaran SOP, elaun koronavirus, kekurangan ubat dan kehabisan barang pakai, tempoh menunggu doktor yang lama, skim perkhidmatan yang tidak dikemas kini, kecenderungan jururawat kerajaan untuk berpindah ke hospital swasta dan jumlah ambulans dan pemandu yang diperlukan bagi tiap-tiap daerah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyarankan perkara itu dalam dalam titah Baginda semasa berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Kesihatan, hari ini.

Baginda Sultan menekankan masih kedengaran berlaku pelanggaran SOP daripada segelintir warga Kementerian Kesihatan dengan salah sebuah pusat kesihatan mengarahkan supaya segala perkakas untuk menyimpan sampel swab seperti tiub kaca dan peti sejuk dibersihkan oleh petugas pembersih.

Tegas Baginda, jika mengikut SOP, kerja-kerja pembersihan itu sepatutnya dilakukan oleh jururawat, bukannya pembersih yang tidak pernah dilatih untuk melakukannya.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan disembah tunjukkan kaedah pemeriksaan yang dilakukan di dalam makmal oleh pegawai Kementerian Kesihatan.

“Demikian juga berlaku pelanggaran terhadap penghantaran sampel swab dengan tidak mengasingkan sampel tersebut, malah menyatukannya dalam sebuah kenderaan yang sama bagi membawa sampel-sampel ujian darah dan air kencing.”

Padahal mengikut SOP, tegas Baginda, penghantaran itu sepatutnya dibuat dengan kenderaan yang berbeza. Kejadian-kejadian seumpama ini menurut Baginda telah menggambarkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran kementerian tersebut.

Baginda Sultan seterusnya bertitah bahawa beberapa perkara lain juga masih kekal menjadi isu seperti isu elaun koronavirus yang dikatakan masih tertunggak atau lambat dibayar kepada sebilangan barisan hadapan seperti pemandu ambulans dan jururawat.

Selain itu, isu kekurangan ubat dan kehabisan barang pakai di hospital dan pusat kesihatan terutama di tiga buah daerah selain Daerah Brunei dan Muara juga turut mendapat perhatian Baginda.

Jelas Baginda, para pesakit ada kalanya terpaksa pergi ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk mendapatkan bekalan ubat dan ia menjadi bebanan kepada mereka, lebih-lebih lagi bagi golongan pesakit warga emas.

“Demikian juga sejak beberapa tahun kebelakangan, sering kedengaran berlaku penukaran-penukaran jenama ubat yang menimbulkan persoalan. Mengapa? Adakah penukaran itu dibuat bertujuan untuk mendapatkan harga yang lebih murah berbanding jenama sebelumnya dan juga patut ditanya, adakah pihak kementerian pernah melakukan prosedur pemilihan dengan melawat kilang-kilang pengeluaran ubat demi menjaga kualiti ubat dan keselamatan pengguna. Ini juga merujuk kepada pentadbiran,” tegas Baginda lagi.

Baginda bertitah mengambil maklum bahawa pihak kementerian telah berusaha untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang selayaknya, tetapi di bahagian-bahagian tertentu masih terdapat kelemahan-kelemahan ketara yang tidak sewajarnya terjadi seperti tempoh pesakit menunggu doktor agak lama sehingga mengundang kepada kesalan dan kegusaran orang ramai.

“Lebih teruk lagi, pesakit terpaksa menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan rawatan di Bahagian Kemalangan dan Kecemasan kerana di sini sering kali berlaku ketiadaan doktor. Sepatutnya di bahagian ini, tidak boleh berlaku kekosongan doktor tetapi ia berlaku juga, mengapa?” soal Baginda.

“Pada hemat Beta, yang menjalankan pentadbiran perlu turun padang untuk memantau perkara ini. Tidak memadai setakat hanya membaca atau menerima laporan dalam pejabat sahaja, apatah lagi jika laporan memang tidak atau belum pernah dibuat. Apakah fungsi Bahagian Kemalangan dan Kecemasan? Ia bukan tempat untuk menunggu lama-lama tetapi adalah tempat untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin,” titah Baginda.

Ini baru kelemahan yang menyangkut kepentingan awam atau orang ramai, tegas Baginda, belum lagi kelemahan-kelemahan yang berkaitan dengan pengurusan warga kementerian sendiri seperti skim perkhidmatan yang tidak dikemas kini sehingga ramai daripada kalangan pegawai-pegawai di kementerian ini yang mempunyai kelulusan ijazah masih sahaja menerima tangga gaji HND, yang dipercayai berpunca daripada Skim Perkhidmatan Profesional Kesihatan Bersekutu (AHP) mereka tidak diperbaharui.

“Demikian juga, sebilangan paramedik dikatakan masih terus meminjam jawatan jururawat kerana kertas kerja bagi peruntukan paramedik masih belum selesai diuruskan oleh pihak pentadbiran, walaupun telah mengambil masa 10 tahun.

“Kedengaran juga kecenderungan para jururawat kerajaan untuk berpindah ke hospital swasta. Mengapakah kecenderungan seperti ini timbul? Pihak kementerian perlu membuat kajian mengenainya,” titah Baginda.

Baginda dalam titahnya seterusnya menegaskan Kementerian Kesihatan perlu melakukan kajian mengenai peralatan dan mekanisme seperti bilangan kereta ambulans yang diperlukan bagi tiap-tiap daerah dan berapa orang pemandunya, kerana jelas Baginda, masih kedengaran jumlah pemandu ambulans tidak mencukupi sehingga petugas paramedik ada kalanya disuruh menjadi pemandu, sedangkan petugas paramedik itu belum pernah diberikan latihan khusus untuk memandu ambulans.

Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa Kementerian Kesihatan telah melancarkan pelan strategiknya pada September 2019 dan kini sedang dilaksanakan.

Kementerian Kesihatan jelas Baginda lagi adalah salah sebuah kementerian yang diberikan peruntukan besar berjumlah hampir $400 juta dan diharap dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat dan penduduk.

“Perkhidmatan itu sedang dikendalikan oleh empat buah hospital kerajaan. Maka bertolak dari sini, pada hemat Beta, tidak ada alasan untuk perkhidmatan yang baik dan bermutu tidak dapat disumbangkan. Namun, semua itu masih saja tertakluk kepada mutu pengurusan dan pentadbiran jua. Jika mutu pengurusan dan pentadbiran baik, maka baiklah juga hasilnya,” titah Baginda lagi.

Berkenaan dengan perkembangan COVID-19 di negara ini, Baginda bertitah menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan dengan kerjasama padu semua pihak dilihat telah berjaya menangani wabak koronavirus di negara ini dan ia merupakan satu perkara yang menggembirakan dan selayaknya disyukuri.