Perbalahan pelitup muka, juruwang ditembak mati

FRANKFURT, 21 SEPT – Warga Jerman berasa marah dan terkejut hari ini selepas seorang pekerja stesen minyak berusia 20 tahun ditembak mati oleh seorang pelanggan yang marah kerana diminta memakai pelitup muka ketika membeli minuman keras.

Pembunuhan pada petang Sabtu di barat bandar Idar-Oberstein dipercayai insiden pertama di Jerman yang dikaitkan dengan peraturan koronavirus kerajaan.

Perbalahan bermula apabila juruwang, seorang pelajar, memberitahu pelanggan supaya memakai pelitup muka, seperti yang diwajibkan di semua kedai Jerman. Selepas bertengkar, lelaki itu meninggalkan kedai.

Suspek kemudian kembali kira-kira satu setengah jam, kali ini memakai pelitup muka. Namun ketika dia membawa enam pek bir di kaunter, dia menanggalkan pelitup muka dan satu lagi pertikaian meletus.

“Lelaki itu seterusnya mengeluarkan revolver dan menembak juruwang tepat di kepala,” beritahu pendakwa Kai Guhrmann kepada wartawan semalam.

Suspek, seorang warga Jerman berusia 49 tahun, menyerah diri di balai polis pada keesokan harinya. Dia ditahan dan mengaku melakukan pembunuhan itu.

Dia memberitahu polis dia rasa ‘terganggu’ dengan peraturan koronavirus, yang dianggapnya ‘melanggar haknya’ dan dia tidak menemui ‘jalan keluar lain,’ kata Fuhrmann.

Datuk Bandar Idar-Oberstein, Frank Fruehauf menyifatkannya ‘tindakan yang tidak diduga, mengerikan’, dan penduduk meletakkan bunga dan lilin di luar stesen minyak. – AFP

Pegawai polis mengepung sebuah stesen minyak di Idar-Oberstein, Jerman. Jerman berkata seorang lelaki berusia 49 tahun telah ditahan kerana membunuh pekerja stesen minyak berikutan pertengkaran mengenai pelitup muka. – AP