Perbandingan sembahyang sunat dengan sembahyang fardhu

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI SATU

Apabila memperkatakan tentang ibadat sembahyang, rukun Islam yang kedua, masih terlalu banyak perkara yang berkaitan dengannya yang perlu dipelajari dan dihalusi, agar terlaksana dengan sempurna segala tuntutan wajib dan sunat serta terhindar daripada melakukan perkara yang dilarang. Semua ini dilakukan semata-mata untuk mencapai kesempurnaan sembahyang.

Meluangkan masa mempelajarinya juga bukanlah suatu perkara yang sia-sia dan merugikan kerana seperti yang kita ketahui kedudukan sembahyang itu sangat penting dan utama sebagaimana yang dapat kita fahami daripada hadis Rasulullahyang diriwayatkan oleh Abu Hurairahr.a. yang maksudnya:

“Sesungguhnya perkara yang pertama sekali akan dihisab terhadap seorang hamba daripada amalannya pada hari Kiamat ialah sembahyang (fardhu)nya. Jika baik (cara mengerjakan sembahyangnya), maka dia telah berjaya dan mendapat pahala, dan jika rosak (sembahyangnya), maka dia mendapat kerugian dan kebinasaan.

Jika ada sesuatu kekurangan daripada sembahyang fardhunya, maka Ar-Rabb ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kamu lihat (periksa) adakah bagi hambaku ini sesuatu daripada sembahyang sunat, (jika ada) maka cukupkanlah dengannya (sembahyang sunat itu) apa yang kurang daripada sembahyang fardhu. Kemudian lakukanlah ke atas sekalian amal (fardhu)nya dengan cara sedemikian itu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Menurut ulama lagi, ibadat sembahyang adalah ibadat yang paling afdhal dikerjakan selepas mengucapkan dua kalimah syahadah. Perkara ini berdasarkan sabda Rasulullah apabila ditanya apakah amalan-amalan yang paling afdhal? Baginda lalu menjawab yang maksudnya:

“Sembahyang pada waktunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Menurut ulama, sebab mengapa sembahyang itu diletakkan sebagai ibadat yang paling afdhal yang membezakannya daripada ibadat selainnya ialah kerana di dalam sembahyang itu terkumpul perkara atau perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya, di dalam sembahyang terdapat zikrullah Ta‘ala, mengingati RasulNya, bacaan (al-Qur‘an), tasbih, tetap diam pada suatu tempat, (perbuatan) menghadap qiblat, taharah, menutup aurat, meninggalkan makan dan percakapan dan perkara selainnya berserta dengan keistimewaan yang khusus terdapat dalam sembahyang, iaitu adanya rukuk, sujud dan selain keduanya.

Jika imam mendirikan sembahyang fardhu, adalah makruh hukumnya menyibukkan diri dengan melakukan sembahyang sunat, seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid. – Agensi

Kedudukan Sembahyang Sunat dan kelebihannya

Sembahyang sunat ialah sembahyang yang dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri. Jika ia dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan pula tiadalah berdosa.

Kita telah mengetahui bahawa sembahyang itu merupakan ibadat yang paling afdhal antara semua ibadat dan amalan. Seterusnya, sembahyang fardhu merupakan perkara yang paling afdhal daripada segala fardhu, diikuti oleh puasa, kemudian haji, lalu zakat. Manakala sembahyang sunat pula perkara yang paling afdhal daripada segala sunat.

Berdasarkan ini, dapat difahami bahawa sembahyang sunat itu juga merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syarak untuk dikerjakan. Sembahyang-sembahyang sunat yang dianjurkan untuk dikerjakan juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri.

Oleh yang demikian, sesetengah orang tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan keistimewaan sembahyang sunat ini. Apatah lagi setelah mengetahui bahawa sembahyang sunat itu mampu menambal atau menampung kekurangan dalam sembahyang fardhu seseorang itu, seperti apa yang disebutkan dalam hadis di atas.

Beberapa perbandingan Sembahyang Fardhu dan Sunat

Terdapat persamaan dan juga perbezaan yang jelas di antara sembahyang fardhu dan sunat, akan tetapi keutamaan melaksanakan sembahyang fardhu itu perlu diletakkan kehadapan daripada sembahyang sunat. Berikut digambarkan beberapa situasi atau keadaan, persoalan serta penjelasan berkaitan dengan perbandingan tersebut.

Keutamaan qadha’ sembahyang fardu

Seorang yang ‘aqil baligh yang meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu itu seumpama mempunyai suatu hutang. Setiap hutang itu wajib dibayar, sama ada hutang kepada Allah atau hutang kepada manusia.

Dalam hal seseorang yang masih mempunyai hutang qadha’ sembahyang fardhu, maka wajib dia mengutamakan masanya untuk menqadha’ sembahyang fardhu yang ditinggalkannya dengan sengaja dan tanpa keuzuran itu dengan segera berbanding melakukan perkara-perkara sunat.

Adapun yang dimaksudkan perkara-perkara sunat dalam perbincangan di sini ialah mengerjakan sembahyang sunat.

Jika dia mengerjakan sembahyang sunat sedangkan dia tidak mengqadha’ sembahyang fardhu yang ditinggalkannya, maka dia telah berdosa kerana melambatkan qadha’ sembahyang fardhu.

Tinggalkan perkara sunat kerana sembahyang fardu

Hukum mengerjakan sembahyang sunat, sekalipun dituntut, akan berubah jika ia boleh menjejaskan sembahyang fardhu dengan alasan mengutamakan sembahyang fardhu berbanding sembahyang sunat. Sebagai contoh, jika imam mendirikan sembahyang fardhu, adalah makruh hukumnya menyibukkan diri dengan melakukan sembahyang sunat, seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid dan sembahyang sunat dua rakaat sebelum Subuh.

Demikian juga, sembahyang Tahiyyatul Masjid, sekalipun hukum asalnya adalah makruh meninggalkannya apabila masuk ke masjid, akan tetapi jika waktu sembahyang Jumaat atau sembahyang lainnya sudah dekat untuk didirikan dan dia bimbang akan tertinggal atau terluput takbiratul ihrambersama imam, maka pada ketika itu tidak dihukumkan makruh meninggalkannya.

Perkara ini adalah berdasarkan larangan daripada mendirikan sembahyang sunat, sama ada Rawatib atau selainnya, apabila sembahyang fardhu didirikan. Diriwayatkan oleh Abu Hurairahr.a. daripada RasulullahBaginda bersabda yang maksudnya:

“Jika telah didirikan sembahyang (fardhu), maka tidak ada sembahyang (sunat) melainkan yang fardhu.” (Hadis riwayat Muslim)

Menqadha’ sembahyang

Sembahyang fardhu yang ditinggalkan adalah wajib diqadha’, sama ada disebabkan lupa, tidur, meninggalkannya dengan sengaja atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam.

Manakala menqadha’ sembahyang sunat yang telah ditetapkan waktunya oleh syarak hukumnya adalah sunat, seperti mengqadha’ sembahyang sunat Dhuha, Witir, Rawatib dan sembahyang sunat Dua Hari Raya yang luput.

Disunatkan juga untuk menqadha’ sembahyang sunat mutlak seperti sembahyang sunat Tahajjud jika ia sudah menjadi kebiasaan kepada seseorang dalam kehidupan sehariannya.

Adapun sembahyang sunat yang didirikan atas sebab-sebab yang mendatang seperti sembahyang sunat Gerhana, sembahyang sunat Istisqa’, sembahyang sunat Tahiyyatul Masjid dan sembahyang sunat Wudhu’, maka tidaklah disyari‘atkan untuk menqadha’nya kerana kesemua sembahyang sunat ini tidak lagi dituntut apabila penyebabnya sudah tiada.