Perbanyakan zikir, istighfar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Dengan kedatangan tahun baharu 1440 Hijrah umat Islam diseru untuk lebih meningkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta lebih istiqamah dalam mentaati perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

“Ketahuilah, hidup di dunia ini adalah sementara dan akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Oleh itu, kita hendaklah mempersiapkan diri dengan memperbanyakkan amal ibadat sebagai bekal untuk menuju kebahagiaan hidup di akhirat kelak,” kata khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini.

Menurutnya lagi, agama Islam telah mengajarkan beberapa langkah yang patut dilakukan dalam membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang dosa dan maksiat seperti memperbanyakkan zikir dan istighfar.

“Ketahuilah, sesesungguhnya jika seseorang hamba itu melakukan dosa dan maksiat, maka perbuatannya melakukan dosa dan maksiat itu akan menjadi penghalang dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan ia lebih cenderung lagi untuk menghampirkan dirinya kepada perkara-perkara mungkar dan maksiat.”

Oleh itu, khatib menyeru, agar umat Islam memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana dengan istighfar boleh menjadikan jiwa, hati dan fikiran tunduk kepada Allah SWT untuk memohon ampun atas segala dosa yang telah dilakukan.

Khatib kemudian turut menyentuh mengenai beberapa fadilat atau kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi mereka yang mengamalkan istighfar seperti pertama, memperolehi kecintaan Allah SWT, kedua, Allah SWT memberi nikmat dengan kerohaniannya yang berupa keluasan rezeki dan ketenangan hidup.

“Ketiga ialah Allah SWT menjanjikan syurga bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT dan menyesali atas segala perbuatannya.”

Khatib menambah, perintah taubat dan istighfar itu bukan hanya kepada orang yang berdosa, malah semua umat Islam dituntut untuk sentiasa bertaubat dan beristighfar seperti jangan sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

“Sesungguhnya istighfar itu sangat penting dalam kehidupan. Maka tidak sewajarnya ia diabaikan apatah lagi dilupakan. Oleh itu, marilah kita sama-sama sentiasa beristighfar pada setiap masa dan ketika serta berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT. Mudah-mudahan segala taubat dan istighfar kita diterima oleh Allah SWT dan memperolehi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”