Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah meraikan ulang tahunnya yang ke-59 pada tahun ini dengan upacara perbarisan kawalan kehormatan di Padang Kawad Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, semalam, yang merupakan antara acara kemuncak sambutan berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Huan.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya serta jemputan khas.
Sejurus ketibaan, Yang Berhormat Pehin menerima Tabik Hormat Panglima dan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan dan seterusnya menyampaikan ucapan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil Kursus Life Saver 995 kepada wakil Majlis Perundingan Kampung Rimba Kawasan 2, penyampaian Anugerah Balai Contoh dan penyampaian anugerah penghargaan kepada masyarakat berjasa.
Bagi Anugerah Balai Contoh, tempat pertama dimenangi oleh Balai Unit Operasi Wanita, diikuti Balai Bomba Lambak Kanan di tempat kedua dan Balai Bomba Spark di tempat ketiga.
Penganugerahan balai contoh dikira melalui sudut operasi yang menetapkan bidang penilaian menjurus kepada pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran dalam pengendalian serta memastikan keselamatan komponen melengkapi alat pernafasan dan keselamatan penggunaan semasa beroperasi, dengan mengambil kira prosedur teknik, keselamatan serta disiplin termasuk kemahiran ‘Fireman Ship’ ketika gerakan operasi.
Sudut perancangan dan latihan menekankan latihan 100 jam setahun, program latihan harian, bulanan dan tahunan termasuk laporan-laporan latihan yang telah ditetapkan bagi setiap anggota operasi di balai-balai.
Manakala itu, dari sudut teknikal, penilaian tertumpu kepada cara pengurusan dan menjaga kebersihan jentera, alat penyelamat, perkakas serta kebersihan kawasan sekitar balai. Dari sudut pentadbiran dan kewangan pula, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan sistem pentadbiran dan kewangan mengikut prosedur, teratur dan kemas kini.
Anugerah Penghargaan Masyarakat Berjasa pula diberikan kepada seramai 41 orang yang terdiri daripada orang awam, jabatan-jabatan kerajaan, sekolah kerajaan dan syarikat swasta.
Anugerah berkenaan mempunyai dua kategori iaitu penghargaan jabatan terhadap orang awam yang telah menunjukkan sikap peka, bertanggungjawab yang boleh dijadikan tauladan baik dan berguna kepada masyarakat seperti memadamkan api kecil sebelum merebak dan menyelamatkan mangsa sebelum ketibaan pihak bomba.
Kategori kedua ialah penghargaan jabatan kepada orang awam yang berkeprihatinan dengan menyumbangkan bantuan tenaga, bantuan kebajikan berupa keperluan asasi dan lainnya semasa anggota menjalankan gerakan operasi memadam yang berpanjangan.
Sebelum meninggalkan majlis, tetamu kehormat bergambar ramai bersama pegawai-pegawai serta anggota-anggota di jabatan tersebut.
Sambutan ulang tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat pada tahun ini membawa tema ‘Keselamatan Kebakaran Tanggungjawab Bersama’ dengan tujuan untuk meningkatkan lagi aspek keselamatan, kesedaran dan bahaya kebakaran yang mana dengan mengamalkan aspek tersebut akan dapat mengurangkan kadar kejadian, kerugian dan kehilangan jiwa.