Perbarisan tamat kursus 84 pelatih PPB

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Pusat Pembangunan Belia (PPB) melalui Program Pembangunan Diri, kelmarin telah mengadakan Majlis Perbarisan Tamat Kursus Pra Graduasi Pelatih Program Pembangunan Belia bagi 84 orang pelatih sesi Julai 2019-2020.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Kawasan Perbarisan, PPB tersebut ialah para pegawai kanan kerajaan, jemputan khas dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), para pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan di PPB serta ibu bapa dan penjaga pelatih.

Majlis perbarisan berkenaan bertujuan bagi menanamkan sikap bekerjasama, daya saing, jati diri serta percaya diri sendiri yang akan menjadi asas kehidupan pelatih untuk masa depan.

Selain itu juga, memupuk sikap memajukan diri sendiri dan tanggungjawab pada diri sendiri dan orang lain, mendisiplinkan para pelatih khususnya bagi program tatanegara yang terkandung dalam Program Pembangunan Diri serta meningkatkan semangat para pelatih untuk terus aktif dalam semua kegiatan.

Ia juga diadakan untuk memberikan kesedaran kepada para pelatih akan kepentingan menjaga nama negara dan meningkatkan semangat patriotik yang cintakan agama, bangsa dan negara di samping mengiktiraf pelatih-pelatih yang cemerlang sepanjang menjalani kursus melalui penyampaian hadiah terbaik mengikut kategori tertentu dan sebagai persiapan awal sebelum mengikuti program penempatan kerja yang lebih mencabar.

Setelah menamatkan kursus selama enam bulan, para pelatih seterusnya akan menjalani program penempatan kerja di sektor kerajaan dan swasta selama enam bulan.

Majlis perbarisan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Perwakilan Pelatih seramai 15 orang serta sijil dan anugerah kepada 20 orang pelatih terbaik keseluruhan mengikut kategori tertentu dan mengikut program sebagai hadiah galakan termasuk dua anugerah terbaik keseluruhan program bagi pelatih lelaki dan perempuan untuk sesi tahun ini.

Pengiran Mohd Amirrizal memeriksa perbarisan para pelatih pada majlis berkenaan – Gambar daripada Pusat Pembangunan Belia