Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Semangat Hari Kebangsaan (HK) Negara Brunei Darussalam ke-38 terus disemarakkan lagi oleh beberapa pihak dalam mengingat dan menghargai hari bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam.
Persatuan PERBEKAL baru-baru ini telah menganjurkan Muhibah 3 Penjuru sempena Sambutan HK Negara Brunei Darussalam ke-38 di ruang legar Sekolah Rendah Datu Mahawangsa Lambak, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Penaung PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud dan seterusnya merasmikan Eco-PERBEKAL.
Semasa acara tersebut berlangsung, tetamu kehormat berpeluang menyaksikan pameran mini yang menunjukkan kegiatan dan hasil program ekonomi tersebut yang mana Eco PERBEKAL merupakan program perekonomian dengan jangka pendek dan jangka panjang.
Acara berkenaan juga dimeriahkan dengan aktiviti berjalan kaki mengelilingi kawasan persekitaran Kampung Lambak B sejauh 2.5 km dan seterusnya menyaksikan perasmian baju T PERBEKAL yang disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi selaku penasihat PERBEKAL.
Majlis yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Lambak B tersebut turut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dengan penduduk kampung dan ahli PERBEKAL.
Acara tersebut telah dilaksanakan dengan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan selain mengehadkan jumlah peserta, memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial.