Perbelanjaan iklan dunia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 28 JAN – Perbelanjaan iklan dunia dijangka meningkat 3.9 peratus tahun ini kepada AS$615.4 bilion, menurut jangkaan perbelanjaan terkini oleh Dentsu Aegis Network.

Dentsu Aegis berkata acara seperti Sukan Olimpik Tokyo, Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA, pilihan raya Presiden Amerika Syarikat dan APEC Malaysia, bakal menjadi pemacu penting kepada peningkatan perbelanjaan iklan di seluruh dunia apabila para pengiklan memanfaatkan kehadiran jumlah yang ramai.

“Bagi Asia-Pasifik kami mengunjurkan perbelanjaan iklan meningkat 4.2 peratus, dengan penurunan di Malaysia sebanyak 4.5 peratus, Australia (3.8 peratus), China (5.6 peratus), Jepun (2.0 peratus), manakala India berkembang dua kali ganda kepada 10.9 peratus – sebahagian besarnya didorong oleh digital, yang sebahagiannya dijana menerusi penggunaan telefon pintar yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi Malaysia, digital terus memacu pertumbuhan perbelanjaan iklan pada 2020, dengan unjuran peningkatan kepada 17.2 peratus, mencecah AS$522 juta dan 37.7 peratus daripada jumlah perbelanjaan.

Pertumbuhan kekal kukuh sehingga 2021 meletakkan penguasaan perbelanjaan iklan digital kepada 41.9 peratus pada permulaan dekad baharu, katanya.

“Dalam digital, peralatan mudah alih dan video berkembang pesat. Kedua-duanya dijangka menunjukkan momentum yang kukuh pada 2020 dengan 23.3 peratus dan 42 peratus pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, TV dan akhbar masing-masing dijangka menguasai 16.3 peratus dan 25.2 peratus bahagian perbelanjaan iklan, pengiklanan luar rumah, pawagam dan radio masing-masing memperoleh 9.1 peratus, 3.4 peratus dan 7.5 peratus. – Bernama