Perbelanjaan isi rumah April Jepun menurun

TOKYO, 5 JUN – Perbelanjaan isi rumah Jepun pada April mencatatkan penurunan paling teruk dalam tempoh hampir dua dekad, data kerajaan menunjukkan hari ini, ketika ekonomi ketiga terbesar di dunia mengalami impak daripada wabak penyakit koronavirus.

Perbelanjaan turun 11.1 peratus dari tahun sebelumnya, dengan kenaikan cukai jualan tahun lalu menambah lagi bebanan, menurut data yang dikeluarkan oleh kementerian hal ehwal dalam negeri.

Angka tersebut sebahagian besar disebabkan oleh penurunan ramalan sebanyak 12.75 peratus, dan menandakan penurunan bulan ketujuh berturut-turut sejak kerajaan menaikkan cukai penjualan pada bulan Oktober.

“Koronavirus memberi kesan serius terhadap ekonomi termasuk perbelanjaan oleh individu,” kata ketua setiausaha kabinet Yoshihide Suga kepada wartawan pada sidang media.

“Kami rasa perlu bagi kami untuk kembali kepada kegiatan ekonomi selangkah demi selangkah sambil mengambil langkah pencegahan jangkitan, tatkala sektor perniagaan kini terus bertahan daripada impak koronavirus,” tambah Suga, jurucakap tertinggi kerajaan.

Penurunan bulan April adalah disebabkan oleh penurunan perbelanjaan bagi pengangkutan dan telekomunikasi, serta bagi aktiviti riadah.

Ini adalah penurunan terburuk sejak data yang tersedia pada tahun 2001.

Angka-angka terbaharu itu datang setelah data rasmi bulan lalu mengesahkan Jepun memasuki kemelesetan pertama sejak 2015, menyusut 0.9 peratus pada Januari-Mac ketika ia berjuang memerangi koronavirus. – AFP

Orang ramai melintasi laluan pejalan kaki di Daerah Ginza Tokyo. Perbelanjaan isi rumah Jepun pada April mencatatkan penurunan paling teruk dalam tempoh hampir dua dekad, ketika ekonomi ketiga terbesar di dunia mengalami impak daripada wabak koronavirus. – AFP