SOOK, 12 Jun – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, perbezaan agama dan kepercayaan tidak boleh dijadikan halangan untuk memperkasa perpaduan kaum di negara ini.
Katanya, walaupun rakyat berbeza agama dan kepercayaan namun mereka masih berpegang kepada nilai hormat menghormati atas perbezaan berkenaan.
“Kita tetap mengamalkan nilai yang sama iaitu bersyukur dan hormat menghormati sekali pun bangsa dan agama kita berbeza … ini bukan jurang yang boleh memisahkan rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap di majlis Jelajah Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Raya di Kampung Pengiradan, Sook , kira-kira 60 kilometer dari sini, semalam.
Pada majlis berkenaan Kurup menyampaikan sumbangan hari raya kepada 30 orang penduduk di kampung itu.
Sementara itu, Kurup mengajak masyarakat di kawasan berkenaan supaya berhati-hati dengan dakyah serta hasutan parti pembangkang yang sentiasa menjadikan pembohongan sebagai bahan untuk meraih simpati demi kesinambungan politik peribadi mereka.
Dalam perkembangan lain, Anggota Parlimen Pensiangan yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu berkata, beliau akan memastikan pembangunan pendidikan di kawasan itu terus diperkasakan untuk kemajuan generasi akan datang. – Bernama