Oleh Lenna N.B.
MULA bertugas di Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB) sejak awal tahun 1973 selaku seorang juruhebah sambilan di bahagian penyiaran radio Melayu, kemudian berkerja tetap sejak tahun 1975 sebagai penerbit radio sehinggalah bersara dalam tahun 2013 pada jawatan Penerbit Kanan.
Memiliki pengalaman lebih dari 40 tahun di bidang penyiaran, Helen telah merasai pahit manis dan suka duka di dalam karier tersebut yang baginya adalah pengalaman penuh penerokaan dan keseronokan terutama apabila berpeluang untuk menjalinkan silatulrahim dengan pelbagai peringkat lapisan masyarakat.
“Walaupun saya seorang sahaja berbangsa Tionghua, tetapi saya selesa berada di penyiaran Melayu. Saya sudah terbiasa untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam seharian sama ada dengan jiran atau kawan-kawan. Lagipun, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara,” ucap Helen Thu Moi Chin, 59 tahun, terkenal dengan nama panggilan ‘Helen’ di Radio.
“Kadang kala kita terlupa nama dan wajah mereka kerana terlalu ramai yang telah diwawancara tetapi yang mengharukan mereka masih ingat terhadap saya, walaupun saya sudah tidak lagi berkhidmat di RTB.”
Pencapaian sepanjang perkhidmatan
Mengimbas detik pencapaiannya, Helen tidak pernah lupa mengenai kejayaan yang diraih ketika mengetuai pengurusan Pelangi FM termasuklah menganjurkan jerayawara-jerayawara di seluruh negara untuk memberi kesempatan kepada para pendengar bertemu dengan barisan DJ-DJ radio dan para artis popular tanahair secara lebih dekat, mengelolakan acara-acara seperti Best 914, Beat 914, DJ 60 Saat, DJ Junior dan Asia Aid, kejayaan penganjuran Anugerah Pelangi dua kali setahun sejak 2005 atas kerjasama komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada tenaga-tenaga sebalik tabir Pelangi FM, melancarkan album Rentak 914 sebanyak empat siri, dan banyak lagi yang tidak mampu disenaraikan satu per satu.



“Saya sangat bersyukur kerana menerima penghargaan daripada pemimpin tercinta, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan pengurniaan Bintang Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Kelas 4 (PSB), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Kerja Lama (PKL). Ia merupakan detik kejayaan dalam karier dan hidup saya,” jelas Helen.
Bahasa Melayu yang sebati
Walaupun Helen bukan berbangsa Melayu tetapi beliau adalah seorang pencinta Bahasa Melayu. Latar bangsanya, Tionghua bukanlah penghalang kepada beliau untuk menceburi bidang penyiaran Melayu tetapi atas kesedaran Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita, dan sebagai rakyat Brunei, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk membudayakan dan mencintai bahasa tersebut.
“Saya pernah diarahkan untuk bertukar ke bahagian penyiaran Inggeris tetapi saya menolak, kerana lebih selesa di bahagian Melayu. Rakan-rakan setugas saya juga, kesemuanya berbangsa Melayu. Walaupun hanya saya seorang sahaja dari bangsa Tionghua, saya sudah serasi dengan rakan-rakan sekerja seperti sebuah keluarga yang besar.”
Peredaran zaman
Menurut Helen, pengalaman bekerja selama lebih 40 tahun di bidang penyiaran secara langsung turut membawa beliau melihat peredaran zaman dan teknologi perkembangan radio tanahair.
Dari piring hitam, ke bentuk cakera padat sehinggalah teknologi komputer yang mampu menyimpan ribuan lagu, Helen telah mengalami sendiri perubahan teknologi tersebut.
“Saya masih ingat pada hari pertama bertugas, saya tersalah pasang kelajuan piring hitam. Piring hitam kecil yang sepatutnya dimainkan perlahan saya lajukan seperti piring hitam bersaiz besar. Bunyi lagu yang dimainkan ke udara pun berubah cepat. Semua pendengar mendengarnya. Suatu pengalaman yang lucu, dan pada masa yang sama, mengajar saya untuk tidak mengulanginya.”




Berbanding dengan sekarang ini, tugasan penyampai radio pada ketika dahulu menurut Helen agak sibuk kerana mereka perlu mencari dan memasang piring hitam yang hendak dimainkan, menyemak kelajuan dan tajuk lagu yang hendak dimainkan.
Dari segi masa, durasi sesebuah lagu pula tidak dicatatkan sehingga mereka perlu menggunakan kemahiran jangkaan sendiri. Begitu juga jika mereka bekerja di luar studio, mereka perlu mengangkat mesin perakam yang agak besar dan berat.
“Sekarang lebih canggih. Semuanya hanya di hujung jari memudahkan tugas penyampai setiap kali ke udara. Dengan teknologi komputer terkini, tugas kami lebih senang,” ujar Helen.
Penglibatan dalam penyiaran televisyen
Helen bermula dalam penyiaran televisyen sejak di awal penubuhan Rangkaian Televisyen Brunei lagi iaitu sebagai penyampai susunan rancangan. Beliau kemudiannya menjadi pengacara rancangan tv seperti Serikandi, Keluarga dan banyak lagi Di samping itu, beliau juga pernah menjadi hos untuk pertandingan Mustika, Bintang Kecil, Juara Kugiran serta rancangan peringkat ASEAN, Sukan Asia dan Apec 2000.
“Saya juga pernah diberi peluang untuk merakamkan suara latar dalam rancangan-rancangan dokumentari tv serta membuat ulasan siaran langsung upacara kenegaraan. Terima Kasih kepada pihak pengurusan RTB kerana memberi kepercayaan kepada saya dan rakan saya, Haji Abdul Manap dalam mengacarakan rancangan Rampai Pagi yang mula-mula sekali diterbitkan pada 5 Januari 1988. Melalui rancangan tersebut, kami berpeluang untuk mewawancara ramai artis dari luar negara yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam,” jelas Helen.



Pendengar Setia
Pengalaman selama puluhan tahun di siaran radio secara tidak langsung telah membuatkan Helen berjaya membentuk pendengar-pendengar yang setia untuk mengikuti rancangannya. Kebanyakan pendengar kagum dengan kemahiran Helen yang menguasai pengunaan Bahasa Melayu dengan baik, walaupun Helen sendiri masih merasakan banyak kekurangannya berbanding dengan rakan-rakan setugas. Namun, ucapan pendengar itulah menjadi motivasi bagi beliau.
“Yang mengembirakan adalah apabila mereka suka dengan rancangan yang saya terbitkan seperti Ada Ada Saja dan Katak Atas Tempurung. Paling menarik, adalah apabila satu segmen dalam rancangan Serbanika Hiburan, iaitu Sahabat Radio yang saya telah terbitkan telah berjaya menjalinkan persahabatan dari Brunei, Indonesia dan Malaysia. Malah, ada yang sampai naik ke jinjang pelamin. Banyak kenangan manis bersama pendengar yang tidak dapat saya lupakan.”
Helen turut menceritakan kenangan ketika bertemu dengan seorang wanita di sebuah pejabat yang menjelaskan rasa teruja kerana dapat bertemu dengannya dan segera memeluknya berikutan daripada peranan beliau yang pernah menghiburkannya melalui radio semasa bertugas di RTB. Walaupun beliau sudah bersara, ternyata masih ada pendengar yang mengingatinya.
Persembahan tetap diteruskan
“Ungkapan yang selalu saya katakan semasa bertugas di radio dan televisyen adalah, ‘The Show Must Go On’. Ia menjadi inspirasi dan motivasi bagi setiap penyampai, pengacara radio mahupun televisyen ataupun dipentas, kerana apapun yang terjadi, sesebuah rancangan itu hendaklah terus berjalan hingga ke akhirnya. Saya sering mengingati perkara ini kepada diri saya dan anak buah yang bertugas, jika terjadi kesilapan atau ada masalah teknikal, mereka perlu bijak menanganinya, tidak emosi dan teruskan rancangan atau persembahan. ‘The show must go on!,..” ujar Helen di hujung temuramah.