Perbicaraan Ekstradisi Assange disambung

LONDON, 7 SEPT – Penyokong Julian Assange semalam membantah di luar bangunan mahkamah London, menggesa pengasas WikiLeaks tidak diekstradisi ke Amerika Syarikat kerana membocorkan rahsia mengenai peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Ramai memegang sepanduk berbunyi ‘Jangan Ekstradisi Assange’ dan ‘Kewartawanan bukan satu jenayah!’, tatkala warga Australia berusia 49 tahun itu dibawa ke Old Bailey untuk meneruskan perbicaraan.

Terdahulu, teman Assange, Stella Moris, menyampaikan 80,000 petisyen menentang ekstradisinya kepada pejabat Perdana Menteri Boris Johnson di Downing Street.

Dalam satu temu bual yang disiarkan dalam akhbar The Times pada Sabtu, Moris, 37, berkata: “Bagi Julian, ekstradisi adalah hukuman mati.”

Dia berkata dia khuatir Assange akan bunuh diri, dan dua anak lelaki mereka, yang dikandung semasa dia mendapatkan perlindungan di kedutaan Ecuador di London, akan membesar tanpa seorang bapa.

Assange hadir dalam kandang orang salah dalam sut warna hitam dan tali leher merah – kali pertama beliau dilihat di khalayak umum sejak perbicaraan bahagian pertama pada Februari.

Perbicaraan Old Bailey, dijangka berlangsung selama tiga hingga empat minggu, telah dijadualkan pada April tetapi ditunda disebabkan wabak koronavirus.

Assange berdepan 18 tuduhan di bawah Akta Pengintipan AS kerana mengeluarkan 500,000 fail rahsia pada 2010 membutirkan aspek kempen ketenteraan AS di Afghanistan dan Iraq.

Jika disabit bersalah, beliau mungkin dihukum penjara sehingga 175 tahun. – AFP

Stella Moris (tengah) tiba bersama bapa Assange, John Shipton (kanan) dan peguam Jennifer Robinson di mahkamah Old Bailey, tengah London kelmarin. – AFP