Perbicaraan halimin ditentukan 7 mac ini

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Seorang lelaki yang berdepan pertuduhan melakukan curi, memalsukan plat pendaftaran dan melakukan khianat dengan menukar warna asal kereta, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, pada Sabtu lalu.

Hairul Halimin bin Haji Mohd Yussof, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid yang kemudian menetapkan 7 Mac 2020 untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta dari kawasan sebuah
syarikat di Kampung Mulaut pada 11 Februari 2020 antara jam 10 pagi dan 5 petang.

Sekitar jam 5:30 petang pada 17 Februari 2020 dan sekitar waktu malam pada 20 Februari 2020 di RPN Rimba, tertuduh turut didakwa mempamerkan plat pendaftaran palsu
pada kereta berkenaan dan menukar warna asal kereta dari merah kepada hitam.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Haji Mohammad.