Perbicaraan kes 1MDB ditangguhkan

KUALA LUMPUR, 13 NOV – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak kerana peguam utama yang mewakili bekas perdana menteri itu dan saksi kesembilan pihak pendakwaan tidak sihat.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan selepas dimakumkan berhubung perkara itu oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas pembelaan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, saksi kesembilan pihak pendakwaan, pada hari ke-35 perbicaraan. Sri Ram memaklumkan Shahrol Azral yang telah memberi keterangan mulai 23 September, tidak dapat memberi keterangan kerana beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit (MC) sehingga esok.

Sementara itu,  Wan Aizuddin memaklumkan mahkamah bahawa peguam kanan Muhammad Shafee telah diberikan MC mulai semalam sehingga esok selepas didiagnosis dengan sakit kerongkong teruk.

“Semalam, Muhammad Shafee menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di Taman Tun Dr Ismail, Damansara di sini, dan beliau didiagnosis dengan sakit kerongkong teruk.

“Beliau diberikan MC mulai semalam hingga esok. Dengan itu, kami memohon mahkamah yang mulia ini untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan tarikh perbicaraan esok dikosongkan,” katanya.

Peguam itu turut mengemukakan sijil cuti sakit Muhammad Shafee kepada mahkamah.  – Bernama