KUALA LUMPUR, 6 JAN – Perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api di Mahkamah Sesyen hari ini ditangguhkan esok, kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani (Hebrew).
Hakim Norina Zainol Abidin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan, 39, memohon untuk mendapatkan jurubahasa berkenaan.
“Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani bagi menterjemahkan keterangan daripada saksi-saksi pihak pendakwaan, tetapi pihak mahkamah tidak dapat mengesahkan tarikh. Oleh itu, setakat hari ini, saya akan menangguhkan perkara ini sehingga esok.
“Namun, bersiap sedia jika tiada jurubahasa Ibrani yang tersedia, jurubahasa mahkamah akan menterjemahkan kepada anda (Avitan) dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang mudah. Jika anda (Avitan) tidak faham, sila angkat tangan dan maklumkan kepada mahkamah bahawa anda tidak faham. Untuk hari ini, kes akan ditangguhkan hingga esok pada pukul 10 pagi,” kata hakim tersebut.
Terdahulu, Avitan yang memakai kemeja-T berwarna putih dan ves hitam tiba di mahkamah kira-kira 10 pagi dikawal ketat hampir 200 anggota polis yang ditugaskan untuk mengawal laluan masuk pintu utama mahkamah bagi memastikan keadaan keselamatan terkawal.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu selama 12 hari bermula hari ini sehingga 9 Januari, 13 hingga 16 Januari, serta 20 hingga 23 Januari.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6:46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas. – Bernama