Perbicaraan Najib ditangguh

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Perbicaraan bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak terhadap skandal kewangan terbesar negara itu sehingga menyebabkan kejatuhannya telah ditunda hari ini, satu lagi tamparan dalam usaha perlahan untuk membawa bekas ahli politik itu ke muka pengadilan.

Najib dijadualkan untuk menjalani perbicaraan pada hari Selasa ini buat pertama kali atas dakwaan penglibatannya dalam mencuri dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MBD), sehingga mencetuskan kegemparan di seluruh dunia.

Berbilion-bilion dolar didakwa telah dicuri dari 1MBD, yang ditubuhkan bagi membantu meningkatkan ekonomi Malaysia, oleh Najib dan kroni-kroninya untuk berbelanja sakan membeli hartanah mewah dan karya seni mahal.

Najib, yang didakwa menerima sejumlah besar wang daripada dana itu ke dalam akaun-akaun bank peribadinya, menafikan sebarang salah laku.

Mahkamah Rayuan hari ini bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan bagi tempoh yang tidak ditetapkan, kata Peguam Jenayah V. Sithambaram kepada AFP.

“Ia tidak akan ditangguh terlalu lama,” katanya, menambah bahawa dia berharap rayuan itu hanya mengambil masa seminggu atau dua minggu.

Perbicaraan itu, pada asalnya dijadualkan untuk bermula Selasa ini, adalah bagi tujuh dakwaan dikaitkan Najib mengambil RM42 juta dari SRC International, bekas unit 1MBD. – AFP