Perbicaraan Najib diteruskan

KUALA LUMPUR, 18 JULAI – Perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berhadapan dengan 25 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang melibatkan RM2.28 bilion milik dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan diteruskan pada 19 Ogos,  sebagaimana yang ditetapkan.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mengetepikan notis usul yang difailkan oleh Pendakwa Raya sebagai pemohon, agar perbicaraan 1MDB ditangguhkan buat kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan Najib dalam kes berkaitan SRC International Sdn Bhd, supaya diselesaikan terlebih dahulu.

Dalam penghakiman ringkas, hakim itu berkata mahkamah mendapati tidak ada sebab yang munasabah untuk menangguhkan perbicaraan 1MDB kerana perkara itu melibatkan kes yang mempunyai kepentingan awam.

“Saya tidak nampak sebarang sebab untuk penangguhan.

“Tarikh perbicaraan sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini, kekal. Jadi saya menolak usul yang dibawa oleh pihak pendakwaan,” katanya dan menambah kes ini telah berlarutan selama hampir setahun sejak Najib didakwa pada bulan September 2018. – Bernama