Perbicaraan rasuah Netanyahu bermula

BAITULMAQDIS, 19 JULAI – Mahkamah Israel akan mula mendengar keterangan dalam perbicaraan rasuah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Januari, hakim yang mempengerusikan kes itu memutuskan hari ini.

Netanyahu telah menafikan dakwaan rasuah, penipuan dan pecah amanah yang dilemparkan ke atas beliau. Perbicaraan pertama dalam kes itu diadakan pada 24 Mei dan sesi kedua berlangsung hari ini, tanpa kehadiran Netanyahu.

Dalam satu transkrip sesi yang diperoleh oleh AFP, Hakim Rivka Friedman-Feldman mene-tapkan jadual masa untuk peringkat perbicaraan seterusnya, termasuk ketetapan Netanyahu mesti membuat satu akuan secara bertulis pada 18 Oktober.

“Pihak harus bersedia untuk mendengar keterangan bermula Januari 2021, dengan sesi tiga kali seminggu, pada Isnin, Selasa dan Rabu,” tulis beliau, tanpa memberikan tarikh sebenar. Perbicaraan sedang diadakan di mahkamah daerah Baitulmaqdis. Sekatan media telah dikenakan sebagai langkah berjaga-jaga akibat koronavirus.

Pada pembukaan perbicaraan pada Mei, Netanyahu meminta prosiding dijalankan secara langsung di televisyen, tetapi kamera diharamkan mulai sesi hari ini. Perdana menteri paling lama dalam sejarah Israel, Netanyahu berkata dakwaan ke atas beliau – difail oleh peguam negara yang dilantik oleh beliau – merupakan sebahagian daripada usaha memburu untuk menyingkirnya daripada jawatan perdana menteri. – AFP

Liat Ben Ari (kanan), pihak plaintif dalam perbicaraan ke atas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dilihat di mahkamah daerah di Baitulmaqdis kelmarin. – AP