Perbicaraan Suu Kyi dipindah ke perkarangan penjara

YANGON, 21 JUN – Sesi pendengaran bagi perbicaraan pemimpin Myanmar yang disingkirkan, Aung San Suu Kyi akan dipindahkan ke sebuah penjara di ibu kota Naypyidaw, menurut sumber yang rapat dengan kes itu hari ini.

Penerima anugerah Nobel berusia 77 tahun itu ditahan oleh tentera apabila kerajaannya digulingkan tahun lalu dan berdepan pelbagai dakwaan yang boleh melihatnya dipenjara lebih 150 tahun.

Sejak itu, dia telah ditahan di satu lokasi yang tidak didedahkan di Naypyidaw, keluar hanya untuk menghadiri pendengaran di perkarangan perbandaran di timur ibu kota yang dirasmikan oleh tentera pada 2006.

Pendengaran seterusnya “akan dijalankan di mahkamah khas baharu di Penjara Naypyidaw” susulan penyiapan bangunan mahkamah baharu di perkarangan penjara berkenaan, kata satu sumber yang dekat dengan kes itu. Sumber itu tidak memberikan butiran lanjut.

Peguam-peguam Suu Kyi telah dilarang daripada bercakap kepada media dan para pemberita ditegah daripada menghadiri perbicaraannya.

Di bawah rejim junta sebelumnya, Suu Kyi telah lama menjalani tahanan rumah di rumah keluarganya di Yangon, bandar terbesar Myanmar.

Penahanannya ada masa ini telah menyaksikan perhubungannya dengan dunia luar dihadkan kepada pertemuan singkat sebelum perbicaraan bersama peguam-peguamnya. – AFP

Gambar fail bertarikh 17 Ogos 2017 menunjukkan Aung San Suu Kyi beredar selepas

menghadiri upacara pengebumian bekas pengerusi parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), Aung Shwe di Yangon. – AFP