JASIN, 13 JAN – Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) akan mencari jalan terbaik bagi menangani masalah tunggakan gaji pemain pasukan itu, kata Presidennya Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Kongres Tahunan Ke-66 persatuan itu pada 16 Januari ini.
“Tunggu pada kongres tersebut kami akan bincangkan mengenai masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya 2022 hari ini.
Semalam tular tangkap layar perbualan menerusi aplikasi WhatsApp antara Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Penaung Persatuan Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka.
Tunku memberi teguran dan menasihati Sulaiman supaya mengambil perhatian segara mengenai isu yang membelenggu skuad Sang Kancil itu. – Bernama