Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perbincangan kerjasama strategik perkukuh hubungan Indo-S’pura

    JAKARTA, 6 NOV – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mengadakan pertemuan dua hala yang konstruktif hari ini, membincangkan topik utama termasuk pertahanan, perdagangan, pelaburan, keterjaminan makanan, tenaga, dan pembangunan sumber manusia.

    Dalam sidang media bersama di Istana Merdeka di Jakarta selepas pertemuan itu, Prabowo berkata kedua-dua negara komited untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian kerjasama pertahanan, termasuk peraturan bagi kawasan latihan ketenteraan.

    “Berhubung kerjasama ekonomi, saya berharap Singapura dapat memudahkan akses pasaran yang lebih luas bagi produk Indonesia, termasuk melalui pengharmonian peraturan dan piawaian,” katanya.

    Kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha untuk meningkatkan pelaburan Singapura, terutamanya dalam tenaga boleh diperbaharui, peremajaan industri, keterjaminan makanan, teknologi digital, semikonduktor, penjagaan kesihatan, dan ibu negara baharu, Nusantara.

    Mengenai teknologi tenaga rendah karbon, mereka membincangkan projek kerjasama yang sedang berlangsung, termasuk sambungan tenaga elektrik rentas sempadan, pembangunan bersama hidrogen hijau di Sumatera, penjanaan kuasa suria, serta penangkapan dan penyimpanan karbon.

    Dalam aspek keterjaminan makanan, kedua-dua pemimpin meneroka potensi kerjasama dalam pemindahan teknologi dan pertukaran kepakaran, terutamanya dalam pertanian bandar dan pembangunan kawasan ladang makanan.

    Bagi pembangunan sumber manusia, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains, teknologi, pendigitalan, dan pertukaran profesional.

    Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, dengan kedua-duanya menekankan pentingnya mengekalkan keamanan dan keselamatan di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

    Prabowo menyatakan kebimbangan terhadap situasi di Palestin dan Lubnan, menyeru agar keganasan dihentikan segera, penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan, dan penyelesaian dua negara bagi Palestin dan Israel.

    Mengenai Myanmar, kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka terhadap konsensus lima perkara, yang menumpukan pada dialog inklusif dan penyampaian bantuan kemanusiaan.

    Menurut Prabowo, “Singapura merupakan satu daripada jiran terdekat Indonesia dan rakan yang sangat penting. Kami mempunyai kerjasama yang kukuh sama ada secara dua hala atau dalam rangka ASEAN.”

    Wong mengakui ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, dengan berkata, “Kita memasuki era yang lebih mencabar dalam hal ehwal global, dengan lebih banyak ketegangan geopolitik yang perlu diuruskan.”

    “Tetapi Indonesia dan Singapura berkongsi banyak perspektif strategik bersama mengenai dunia. Kita mahu menjadi sahabat kepada semua, jiran yang baik, dan mengekalkan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat serta China.

    Kedua-dua negara akan terus menjalankan dasar luar yang aktif dan bebas bertujuan mencapai manfaat bersama, melindungi kepentingan masing-masing, dan memastikan keamanan, kestabilan, serta kemakmuran bagi kedua-dua negara dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas,” katanya.

    Wong berada di Jakarta sejak kelmarin untuk lawatan dua hari, yang menandakan lawatan rasmi pertama yang dihoskan oleh Prabowo sejak pelantikannya pada 20 Oktober. – Bernama

    Lawrence Wong (kiri) bersalam dengan Prabowo Subianto ketika sidang media bersama selepas pertemuan mereka di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, hari ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda