Perbincangan sempadan antarabangsa masih berjalan

BERA, 5 JULAI – Malaysia masih tidak akan membuka sempadan antarabangsa kepada pelancong dan pekerja warga asing, kerana perbincangan dengan negara yang dikategorikan zon hijau, masih berjalan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar kanan) berkata, dalam perbincangan itu, Malaysia menekankan untuk memperolehi timbal balas, iaitu kebenaran rakyat Malaysia memasuki negara berkenaan.

“Kita mahu timbal balas, iaitu kita buka negara kita dan mereka juga perlu buka negara mereka. Kalau mereka masih memperketat syarat untuk rakyat kita, kita juga tak akan benarkan rakyat mereka untuk datang.

“Perkara ini sedang dibincangkan oleh Kementerian Luar. Namun begitu ia masih bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebab ada negara yang dahulu zon hijau, kini menjadi merah semula, kita akan lihat keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Petugas Barisan Hadapan COVID-19, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman, di sini, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, KKM sebelum ini telah mengenal pasti enam negara zon hijau COVID-19, bagi pembukaan semula sempadan antarabangsa negara secara bersyarat iaitu Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Beliau bagaimanapun berkata, empat kategori pengecualian bagi warga asing untuk masuk ke negara ini  dengan menjalani prosedur operasi standard (SOP) tertentu masih kekal, iaitu bagi diplomat, ekspatriat kategori EP1, peserta Malaysia My Second Home dan pelajar yang mahu meneruskan pengajian.

Sementara itu beliau berkata, Malaysia sudah mengenal pasti lokasi dan jumlah rakyatnya yang masih terkandas di luar negara, kerana kawalan pergerakan di negara berkenaan.

Katanya, mereka terbahagi kepada dua kategori, iaitu rakyat Malaysia yang melawat negara luar, dan pelajar, dengan Kementerian Luar akan memperincikan statistik mereka.

“Kita akan bincang kategori mana yang mendesak untuk dibawa balik. Kementerian luar akan beri cadangan dan kita akan putuskan,” katanya. – Bernama