Perbincangan S’pura-M’sia positif

PUTRAJAYA, 25 JUN – Perbincangan antara Malaysia dengan Singapura mengenai pembukaan semula sempadan kedua-negara adalah positif, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Saya agak positif …tetapi sudah tentu akan ada pihak yang melihatnya secara negatif tetapi mereka tidak terlibat dalam perbincangan dan tidak tahu apa yang saya telah bincangkan dengan menteri luar Singapura,” katanya.

Hishammuddin turut memberi jaminan pembukaan semula sempadan  Malaysia-Singapura akan memberi tumpuan pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Berdasarkan perbincangannya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju tentang kepentingan SOP dan protokol kesihatan.

“Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat dan memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata sekiranya pembukaan semula sempadan tidak dapat dilakukan dengan jiran terdekat Malaysia, Singapura, dengan itu sukar untuk melaksanakan konsep ‘green bubble’ dengan negara-negara lain. – Bernama

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengadakan sidang media mengenai Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. – Bernama