Perbualan koronavirus dilarang di bar Rom

ROM, 20 NOV – Pesanan adalah jelas daripada poster tulisan tangan di atas kaunter – semua perbualan mengenai koronavirus, sekatan atau virologi diharamkan.

Di sebuah bar kecil di pinggir bandar Rom, pengurus berharap dapat memberikan pelanggannya sedikit kelegaan daripada pandemik global ketika mereka meminum kopi mereka.

“Kami telah bercakap mengenai perkara yang sama berbulan-bulan lamanya, maka kami memilih untuk menceriakan suasana,” beritahu Cristina Mattioli, pengurus bar Feeling, kepada AFP.

Sebagai negara Eropah pertama dilanda pandemik, Itali telah dibelenggu COVID-19 lebih lama daripada kebanyakan negara lain, dan bertahan salah satu sekatan paling ketat.

Selepas beberapa minggu pada musim panas di mana kehidupan hampir kembali kepada normal, pandemik sekali lagi menguasai segala-galanya, dengan kematian meningkat setiap hari.

Cristina Mattioli menggantung poster yang melarang perbualan mengenai koronavirus di Bar Feeling di pinggir bandar Rom pada 19 November. – AFP

“Ia bukan mengenai penafian, atau tidak memahami kesukaran tentang apa yang diharungi dunia, tetapi memberikan diri anda rehat yang diperlukan,” kata Mattioli.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan di bar, dihiasi dengan kotak kayu yang dipenuhi teh di dinding dan menawarkan menu sandwic dan pastri, telah memberikan reaksi positif terhadap pengharaman itu.

Bruno Piazza, seorang pelanggan tetap, fikir ia adalah satu idea yang bagus.

“Kami bosan bercakap mengenai COVID-19. Ke mana kami pergi kami hanya bercakap tentang COVID-19,” kata lelaki berusia 58 tahun itu.

“Saya gembira bercakap mengenai apa-apa kecuali virus, saya lebih suka bercakap mengenai cuaca, atau pun selebriti.” – AFP