MANCHESTER, 17 April – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menjadi muncul dengan percaturan bijak dan tidak disangka-sangka dalam kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas bekas kelabnya, Chelsea semalam, sekali gus memberikan nafas baru dalam pemburuan gelaran Liga Perdana.
Mourinho melakukan pertaruhan dengan merehatkan penyerang utamanya dan juga penjaring terbanyak United musim ini, Zlatan Ibrahimovic namun gol daripada Marcus Rashford dan Ander Herrera menyaksikan Chelsea kini hanya dipisahkan empat mata oleh Tottenham Hotspur dengan berbaki enam perlawanan.
Jaringan pertama United hadir pada minit ke-7 apabila Herrera memecahkan barisan pertahanan dengan satu hantaran menarik kepada Rashford. Pemain berusia 19 tahun itu berlari meninggalkan David Luiz sebelum membuat rembatan kemas menewaskan Begovic bagi jaringannya yang kesembilan musim ini.
Sebarang harapan untuk pasukan pelawat membuat kebangkitan lesap dalam tempoh empat minit memasuki separuh masa kedua apabila Herrera menggandakan pendahuluan United.

Zouma berjaya merebut bola daripada Ashley Young, namun bola yang terlepas itu bergolek ke arah Herrera, yang terus membuat rembatan tajam melepasi Zouma dan Begovic.
Kemenangan turut menyaksikan United hanya ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester City namun memiliki kelebihan satu perlawanan menjelang aksi tetangga di Etihad pada 27 April ini. Kejayaan menewaskan Chelsea juga adalah kejayaan peribadi buat Mourinho yang sebelum ini pernah membimbing The Blues selain membalas dendam kekalahan 4-0 di Stamford Bridge pada Oktober lalu.
Chelsea pada bulan lalu turut menyingkirkan United dalam kempen Piala FA, namun kemenangan di Old Trafford menamatkan badi Red Devils yang kali terakhir menang ke atas lawan sama pada Oktober 2012. – AFP