Percepat transformasi digital pengangkutan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Pendigitalan dalam sektor pengangkutan, permohonan pembaharuan lesen kenderaan dan lesen memandu serta pendaftaran runner domestik secara talian adalah antara usaha kerajaan Brunei dalam mempercepatkan transformasi digital dalam pengangkutan dan logistik.

“Inisiatif-inisiatif itu bertujuan untuk memudahkan serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan sektor perniagaan, terutamanya PKMS baharu yang telah memasuki pasaran berikutan gelombang kedua pandemik COVID-19,” ujar Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-27 (ATM 27) dan Mesyuarat-mesyuarat Bersama Rakan Dialog yang diadakan melalui sidang video selama dua hari yang berakhir hari ini.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam kenyataannya, hari ini, berkata Mesyuarat ATM ke-27 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen dan dihadiri sama oleh Setiausaha Agung ASEAN, Sekretariat ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi.

Mesyuarat tersebut telah membincangkan mengenai Dasar Mempercepatkan Transformasi Digital untuk Pengangkutan dan Logistik yang Lebih Berdaya Tahan di Rantau ASEAN.

Pada mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato juga menyentuh akan kepentingan keselamatan jalan raya dalam merealisasikan pengangkutan kargo yang lebih berdaya tahan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa menghadiri ATM 27 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Kemboja. – Gambar serahan MTIC

Selaras dengan Deklarasi Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2020, Brunei melancarkan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam 2025 yang mengandungi senarai strategi dan inisiatif yang komprehensif.

Di antaranya ialah merangka pengumpulan dan akses data yang berkesan serta menggunakan teknologi yang berkaitan yang membolehkan menangani isu-isu keselamatan jalan raya.

Selaras dengan inisiatif digital baharu dalam Jadual Tindakan Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016-2025 yang diterima pakai pada ATM ke-26 pada 2020, Brunei percaya pendigitalan harus berada di barisan hadapan dalam usaha pemulihan ASEAN dan merealisasikan transformasi digital sepertimana yang dimuatkan dalam Jadual Tindakan Pelan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016-2025 yang disahkan semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN kali ke-26 pada tahun 2020.

Sementara itu, TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen dalam ucapan pembukaannya turut menyentuh mengenai Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 yang berfungsi sebagai pelan utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dengan jurang pembangunan yang minimum dan kesalinghubungan yang lancar di kalangan negara ahli ASEAN dan global.

Ke arah itu, beliau menyeru supaya Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN 2016-2025 akan dapat dilaksanakan bagi kepentingan pembangunan sosio dan ekonomik ASEAN.

Mesyuarat itu diikuti dengan Mesyuarat-mesyuarat bersama Rakan-rakan Dialog Pengangkutan ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea bagi membincangkan inisiatif-inisiatif bagi mengembang majukan kerjasama pengangkutan di antara ASEAN dan rakan-rakan dialog termasuk mengesahkan rangka kerja-rangka kerja utama masing-masing.