Wednesday, November 13, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Percikan Air Basuhan Najis: Adakah Suci?

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Suci daripada hadas dan najis merupakan salah satu syarat sah sembahyang. Apabila seseorang menanggung hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar, maka sembahyang yang dilakukannya tidak sah sehinggalah dia bersih daripada hadas tersebut sebelum mendirikan sembahyang. Begitu juga apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena najis, wajib dibasuh, kerana dengan adanya benda-benda najis ini boleh menghalang sah sembahyangnya.

    Untuk memastikan diri bersih daripada benda najis sebelum mendirikan sembahyang bukanlah perkara yang susah. Ini kerana kebersihan boleh dijaga sebelum sembahyang didirikan sama ada dengan menghilangkan najis terlebih dahulu pada pakaian atau tubuh badan atau menukar pakaian yang terkena najis tersebut dengan pakaian yang bersih.

    Namun yang menjadi kekeliruan di kalangan sebahagian orang, jika pakaian atau badan seseorang terkena percikan air dari basuhan najis, adakah pakaian atau badan yang terkena percikan tersebut dihukumkan bernajis?

    Hukum air basuhan najis

    Air basuhan najis atau dalam Bahasa Arab dipanggil ghusalah an-najasah bermaksud air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis, sama ada najis hukmi atau najis ainniy.

    Dalam menentukan hukum air basuhan najis tersebut sama ada ia suci atau tidak, ulama mazhab Syafi’e membahagikannya kepada dua:

    Antara salah satu syarat sah sembahyang adalah suci daripada hadas dan najis. Apabila seseorang menanggung hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar, maka sembahyang yang dilakukannya tidak sah sehinggalah hadas itu dibersihkan. – Agensi

    Jika kadar air basuhan itu sedikit, hukumnya adalah najis kecuali apabila terdapat tiga syarat, iaitu:

    Tempat bernajis yang dibasuh itu suci seperti tangan yang sebelumnya berdarah menjadi bersih setelah dibasuh.

    Tidak berubah sifat air iaitu rasa, bau dan warna.

    Tidak bertambah berat timbangan air basuhan setelah digunakan iaitu sesudah diambil kira kadar yang dihisap oleh benda yang dibasuh dan kadar kekotoran yang keluar di dalamnya (tidak menambah berat timbangan).

    Dari penjelasan di atas, air basuhan najis yang sedikit yang sudah terpisah dari tempat yang dibasuh masih dihukumkan suci selama mana memenuhi tiga syarat di atas. Akan tetapi ia tidaklah menyucikan untuk digunakan bagi mengangkat hadas.

    Sebaliknya sekiranya sifat-sifat air tersebut berubah sama ada salah satu sifat atau kesemuanya, berat air tersebut menjadi bertambah dan tempat yang dibasuh belum lagi suci bersih, maka ia dihukumkan najis.

    Jika kadar air basuhan itu banyak, maka dihukumkan suci selama mana sifat air iaitu bau, rasa dan warna tidak berubah walaupun tempat yang dibasuh belum lagi suci.

    Adapun kadar air yang sedikit menurut mazhab Syafi‘e adalah kadar yang kurang dari dua qullah. Manakala kadar air yang banyak itu ialah kadar yang sampai dua qullah atau lebih.

    Rasullullah SAW bersabda yang maksudnya:

    “Apabila sampai (kadar) air dua qullah, tidaklah ia menanggung kekotoran.”

    (Hadits riwayat Abu Daud)

    Hadis di atas menunjukkan bahawa air yang sampai kadar dua qullah tidak akan menjadi najis. Dengan syarat tidak berubah bau, warna atau rasanya.

    Kadar dua qullah ialah:

    Sukatan – lebih kurang 216 liter.

    Ukuran isi padu empat segi – 60 x 60 x 60 sentimeter.

    Percikan air basuhan najis terkena pada pakaian atau tubuh badan

    Apabila air basuhan najis terkena pada pakaian yang ingin dibawa sembahyang atau terkena pada tubuh badan, maka dalam keadaan ini untuk menentukan adakah pakaian dan tubuh badan itu suci daripada najis atau tidak adalah berbalik kepada hukum air basuhan najis itu sendiri.

    Jika air tersebut terpercik dari air basuhan najis yang dihukumkan najis kerana tidak memenuhi syarat-syarat yang disebutkan di atas, maka pakaian tersebut dianggap bernajis dan tidak sah sembahyangnya jika dia memakai pakaian tersebut. Begitu juga jika percikan air terkena badan, umpamanya terkena anggota kaki, maka dia perlu membersihkan anggota yang terkena najis itu terlebih dahulu sebelum dia mendirikan sembahyang.

    Akan tetapi jika air yang terpercik itu dari air basuhan yang dihukumkan suci, maka pakaian yang terkena percikan air tersebut adalah dihukumkan suci begitu juga dengan anggota tubuh badan yang terkena percikan tersebut.

    Oleh yang demikian, dalam menentukan status air basuhan najis itu sama ada najis ataupun tidak, hendaklah dilihat pada aspek kadar air itu sendiri. Kemudian dilihat pula pada aspek-aspek lain seperti; berlaku perubahan pada sifat-sifat air tersebut, berat timbangannya bertambah dan keadaan tempat bernajis yang dibasuh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda