Percikan api cetus kegemparan

5 tahunBANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos 2012 – Penduduk di Jalan Pancha Delima, Berakas gempar dengan percikan api yang disangka bunga api daripada tali sawat elektrik di sana.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam itu telah dilaporkan kepada talian Hotline 114 dan kerja membaik pulih kerosakan dilakukan segera oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) hingga pukul 1:05 pagi.

“Kami sangka bunga api, namun apabila kelihatan kabel elektrik di sana bersentuhan dengan percikan api menyebabkan kami cemas dan sedar bahawa percikan api itu adalah elektrik yang tinggi voltannya,” kata salah seorang penduduk berhampiran.

Tiang yang terlibat terletak beberapa meter dari rumah kediaman persendirian di simpang empat kampung berkenaan, namun tiada kemalangan jiwa berlaku dan semua penduduk di kampung yang terlibat selamat.

Sekumpulan pekerja asing yang tinggal di sana turut menelaskan situasi kejadian itu, ketika mereka bersantai di luar rumah, dengan berkata mereka melihat percikan itu dan segera mengerahkan supaya semua elektrik ditutup bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.

“Kami terus keluar dari rumah dan emlihat letupan dan percikan api yang tidak henti-henti daripada bahagian atas dan bawah tiang elektrik itu.”

Bahagian Perhubungan JPE ketika dihubungi berkata kejadian itu berpunca daripada kabel utama ceracak hantaran dan unit poket menuju ke Overhead terbakar di bawah tiang itu.

Kerosakan berjaya dikawal oleh JPE dengan kerjasama kontraktor dengan menggantikan kabel utama serta kerja-kerja penyelenggaraan mengambil masa semalaman.

Pihak JPE mengesyorkan orang ramai agar memastikan semua suis dimatikan sebelum meninggalkan rumah dan tidak pula menggunakan had elektrik yang berlebihan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.