BEIJING, 22 MAC – China telah memulakan fasa pertama percubaan klinikal untuk vaksin koronavirus, rekod menunjukkan, tatkala ahli sains dunia berlumba untuk mencari jalan untuk memerangi patogen virus tersebut.
Ia diadakan selepas pegawai kesihatan AS berkata pada minggu lalu mereka telah memulakan percubaan untuk menilai kemungkinan menghasilkan vaksin di Seattle.
Usaha China bermula pada 16 Mac – pada hari yang sama dengan pengumuman AS – dan dijangka diteruskan sehingga akhir tahun, menurut satu fail dalam Buku Daftar Percubaan Klinikal, bertarikh 17 Mac.
“Anggota sukarelawan percubaan fasa pertama COVID-19 telah pun mula menerima vaksin berkenaan,” beritahu kakitangan yang terlibat dalam projek yang dibiayai oleh kerajaan kepada AFP hari ini.
Seramai 108 peserta, berusia di antara 18 dan 60 tahun, akan diuji dalam tiga kumpulan dan diberikan dos berlainan. Kesemua mereka adalah penduduk bandar Wuhan, di mana koronavirus baharu pertama muncul pada akhir tahun lalu.
Tatkala pandemik COVID-19 melanda dan kerajaan mempertingkat langkah perlindungan, syarikat farmaseutikal dan makmal penyelidikan di seluruh dunia sedang bekerja sepenuh masa.
Buat masa sekarang tidak adanya vaksin atau ubat yang diluluskan untuk penyakit baharu itu, yang telah membunuh lebih daripada 13,000 orang di seluruh dunia setakat ini.
Pengumuman percubaan vaksin keluar di tengah persengketaan yang meningkat di antara AS dan China berhubung pandemik tersebut, dengan Presiden Donald Trump menimbulkan kemarahan Beijing dengan bercakap tentang ‘virus China’.
Akhbar China Global Times menyiarkan satu ruangan pada minggu lalu berkata ‘pembangunan vaksin merupakan satu pertarungan China yang tidak boleh tewas.’ – AFP