Percubaan menyeludup dipatahkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menemui sejumlah bungkusan mencurigakan yang diletakkan di dalam kawasan hutan Kampung Junjongan semasa rondaan sepadu yang dijalankan pagi tadi.

Sejurus pemeriksaan dijalankan, pihak berkuasa mendapati bungkusan tersebut mengandungi barang tegahan iaitu rokok yang dianggarkan berjumlah 275 karton.

Rondaan tersebut dijalankan oleh anggota Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, PPDB dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Menurut siasatan awal, barangan tegahan itu dipercayai cuba diseludup masuk menggunakan jalan belukar dan hutan bagi mengelak daripada dikesan.

Barangan tegahan yang ditemui dibawa ke Balai Polis Kampong Ayer bagi proses penyiasatan awal dan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Antara barangan yang dirampas semasa serbuan di kawasan Sungai Terusan Pandam Kampung Junjongan.
Bungkusan yang mengandungi lebih 250 paket rokok ditemui di hutan Kampung Junjongan.

Sementara itu, dalam satu lagi operasi kelmarin, PPDB berjaya mematahkan percubaan menyeludup barang tegahan semasa menjalankan rondaan di kawasan Sungai Terusan Pandam Kampung Junjongan, kelmarin.

Operasi sepadu berkenaan dijalankan oleh Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, PPDB bersama anggota ABDB.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi semasa rondaan dijalankan di mana kelibat dua individu yang mencurigakan dilihat sedang memunggah beberapa bungkusan plastik ke tebing sungai dengan menggunakan sebuah perahu.

Menyedari akan kehadiran pihak berkuasa, dua individu berkenaan segera melarikan diri.

Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas perahu tersebut telah menemukan beberapa kotak minuman keras dan tiga beg galas berisi sejumlah karton rokok pelbagai jenama.

Barang tegahan tersebut dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan awal dan kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Sehubungan itu, PPDB akan terus sentiasa meningkatkan keupayaan dalam memperkasa usaha kerajaan untuk sama-sama menangani isu-isu berkaitan yang berkaitan dengan jenayah rentas sempadan.

PPBD juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa menyalurkan maklumat dalam membantu membanteras kesalahan jenayah yang termaktub dalam undang-undang Negara Brunei Darussalam.