PARIS, 20 JUN – Jumlah pendatang yang ingin menyeberangi Selat dari Perancis ke England meningkat 68 peratus pada separuh pertama 2022, kata kementerian dalam nege-ri Perancis kelmarin.
Dari 1 Januari hingga 13 Jun, terdapat sebanyak 777 percubaan menyeberang melibatkan seramai 20,132 orang, meningkat 68 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas, kata kementerian itu kepada AFP.
Ia juga menekankan bahawa pasukan keselamatan Perancis telah menghalang kebanyakan rentasan yang dibuat, dengan 61.39 peratus percubaan digagalkan pada separuh pertama iaitu meningkat 4.2 peratus dari tahun lepas.
Jumlah bagi keseluruhan pendatang tahun 2021 telah pun menjadi catatan rekod tetapi statistik terkini telah mengatasi rekod sebelumnya jika aliran semasa berterusan, dengan cuaca musim panas yang lebih baik akan menggalakkan lebih banyak lintasan.
Dilaporkan seramai 52,000 orang cuba menyeberang pada 2021, dengan 28,000 daripada pendatang berjaya, menurut pihak berkuasa Perancis.
Angka-angka tersebut dicatatkan ketika United Kingdom (UK) berusaha untuk memperkukuh polisinya terhadap ketibaan pendatang.
Sementara itu, Britain telah berulang kali menuduh pihak berkuasa Perancis tidak melakukan tindakan yang mencukupi untuk menghentikan lintasan. Namun pertuduhan tersebut dinafikan oleh Paris dalam perbalahan yang telah merenggangkan lagi hubungan selepas Brexit. – AFP