REMBAU – Bagi mereka yang ingin ‘lari’ sekejap daripada kesibukan kota dan tenggelam dalam panorama hutan hijau sambil menikmati deruan sungai, ‘Glamping Buana Kita’ adalah tempat yang harus dikunjungi.
Glamping Buana Kita yang terletak di Kampung Gaing, Pedas, 22 kilometer dari bandar Seremban, menawarkan percutian berkonsepkan ala perkhemahan yang cukup unik sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan baharu di daerah ini.
‘Glamping’ ialah akronim perkataan ‘glamour’ dan ‘camping’ yang membawa maksud percutian berkonsepkan aktiviti perkhemahan yang selesa dan mewah, yang kini menjadi trend percutian dalam kalangan pencinta alam semula jadi yang ingin menginap dalam khemah dilengkapi katil dan kemudahan lain yang selesa.
Pengarah Urusan Glamping Buana Kita Wan Muhammad Ghazali Wan Badrulhisam berkata kawasan glamping berkeluasan kira-kira 0.81 hektar itu diusahakan di atas tanah pusaka milik keluarganya dan baharu sahaja dibuka kepada pengunjung bulan ini.
Katanya, kadar bayaran yang dikenakan ialah RM240 untuk satu khemah untuk penginapan dua hari satu malam bagi hari biasa dan pada hujung minggu dan RM150 setiap seorang untuk penginapan dua hari satu malam pada hujung minggu dan cuti umum.
Menurut beliau, walaupun kawasan percutian itu baru sahaja dibuka, ia sudah mendapat beberapa tempahan melalui promosi yang dibuat melalalui di laman Facebook dan Instagram.
Paling menarik, Wan Muhammad Ghazali berkata, selain menawarkan percutian ala perkhemahan Buana Kita turut mendidik pengunjung terutama anak muda mengenai adat Perpatih yang cukup sinonim dengan masyarakat di Negeri Sembilan.
“Setakat ini kita mempunyai lapan khemah dan setiap khemah dinamakan berdasarkan suku yang terdapat di Negeri Sembilan antaranya seperti Biduanda, Paya Kumboh, Tanah Datar, Batu Hampar, Tiga Batu dan sebagainya,” katanya kepada media di sini.
Tambahnya, pengunjung yang datang ke sini akan diberi penerangan mengenai sejarah adat Perpatih serta sejarah 12 suku di Negeri Sembilan dari segi peranan, keistimewaan dan kedudukan mereka dalam adat itu.
“Pengunjung juga berpeluang menikmati masakan asli tradisional Negeri Sembilan menggunakan resipi turun-temurun keluarga dan dihidang secara berdulang antaranya seperti Ikan Sembilang Berlado, Ikan Sembilang Salai Masak Lemak Cili Api, Ayam Kampung Masak Lemak Cili Padi Campur Nangka dan Sambal Gesek,” katanya.
Wan Muhammad Ghazali berkata pengunjung juga boleh mencuba pelbagai aktiviti yang diadakan di situ antaranya ‘obstacle field’ (cabaran laluan berhalangan), memanah, permainan ‘dart’, ping-pong dan board games (permainan menggunakan papan seperti catur dan dam).
“Selain lapan khemah yang disediakan dengan kemudahan bermalam serba kemas, terdapat juga surau, bilik air, pantri terbuka, set BBQ, gelanggang bola tampar, gelanggang futsal dan tapak unggun api,” katanya.
Wan Muhammad Ghazali berkata pengunjung juga boleh menikmati aktiviti yang terdapat berdekatan dengan kawasan glamping itu antaranya ‘paragliding’ (luncur layar) di Pedas, mandi di sungai di Kampung Batu, mengunjungi Muzium Rembau (Replika Istana Raja Melewar) dan mendaki Gunung Datuk.
Katanya, glamping yang pertama di Rembau ini juga bukan sahaja untuk percutian dan melakukan aktiviti ‘Team Building’ malah turut menerima tempahan untuk sambutan ulang tahun dan majlis keraian. – Bernama