KUALA LUMPUR, 28 Jan – Perdagangan ASEAN-China yang semakin meningkat memberi lebih banyak peluang kepada pengeksport Malaysia untuk meninjau potensi perniagaan yang ditawarkan oleh ekonomi kedua terbesar dunia itu.
Persatuan Perniagaan China-ASEAN (Caba) berkata perdagangan rantau ini dengan China berkembang sebanyak 14.1 peratus, yang bernilai AS$587.9 bilion (AS$1=RM4.11).
“Ia lebih cepat berbanding pertumbuhan dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), walaupun nilai perdagangan lebih rendah, masing-masing berbanding AS$682.2 bilion dan AS$633.5 bilion.
“Kadar pertumbuhan perdagangan antara dua ekonomi ini (EU dan AS) dan China, masing-masing hanya 10.6 peratus dan 8.5 peratus.
“Oleh itu, ini merupakan peluang dan trend pertumbuhan yang memberi potensi besar kepada pengeksport Malaysia,” kata Presiden persatuan itu, Tan Sri Lim Gait Tong, dalam kenyataan hari ini. Pada 2018, katanya Malaysia kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar China di ASEAN, dengan perdagangan mencecah paras tertinggi baharu sebanyak AS$108.625 bilion.
“Caba komited untuk menggalakkan kerjasama dan pemahaman antara China dan ASEAN dan sejak penubuhannya pada 2017, ia telah mengadakan 18 pertemuan dengan pelbagai persatuan di Malaysia dan ASEAN. – Bernama

































