Perdagangan China, Korea U dihambat sekatan PBB

BEIJING, 14 Jan – Perdagangan China bersama Korea Utara menjunam tahun lalu, menurut data hari ini, ketika sekatan ketat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melanda ekonomi negara bersenjata nuklear itu.

Beijing merupakan sekutu penting negara tersisih itu dan sumber utamanya dalam perdagangan dan bantuan – namun pada 2017 ia menyokong langkah-langkah PBB untuk menghukum Pyongyang berhubung kegiatan nuklear dan peluru berpandu balistiknya.

Sekatan ke atas perdagangan dalam komoditi paling berharga Korea Utara telah menyebabkan perdagangan dua hala menjunam 52.4 peratus tahun lalu berbanding pada 2017.

Import China dari negara jirannya menurun 88 peratus pada 2018 setahun ke setahun kepada 1.42 bilion yuan (AS$210 juta), sementara eksportnya merosot 33.3 peratus kepada 14.7 bilion yuan (AS$2.18 bilion), menurut jurucakap pentadbiran kastam, Li Kuiwen.

“Bagi perdagangan antara China dan Korea Utara, kami secara ketat mengimplementasikan resolusi Majlis Keselamatan PBB,” ujar Li kepada para wartawan.

Sekatan perdagangan itu berusaha untuk menutup akses Korea Utara kepada mata wang utama dengan menyekat eksport utamanya – arang dan sumber mineral lain, produk perikanan dan tekstil. – AFP