Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    Perdagangan China-Malaysia cecah AS$176.8 bilion

    KUALA LUMPUR, 25 JAN – Jumlah dagangan antara China dan Malaysia mencecah AS$176.8 bilion (RM739 bilion) pada 2021 dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus di tengah-tengah usaha melawan COVID-19.

    Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata projek utama seperti “Dua Negara, Taman Berkembar” (Two Countries, Twin Parks) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga berjalan dengan lancar.

    “Perdagangan dan pelaburan dua hala mengekalkan momentum yang baik. Adalah adil untuk mengatakan bahawa kerjasama mesra China-Malaysia telah menunjukkan contoh yang baik untuk kerjasama serantau,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2022 yang dihoskan secara dalam talian oleh Kedutaan China hari ini.

    Ouyang juga menyatakan harapan bahawa kerjasama antara Malaysia dan China akan meningkat ke tahap baharu manakala kerjasama antara kedua-dua negara akan terus diperkukuh dalam era pasca pandemik.

    “Saya menantikan untuk melihat kedua-dua negara memperkukuh usaha sama antara strategi nasional, merebut peluang dalam era pasca pandemik, mengembang dan meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan, dan seterusnya membuka potensi penuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau dan teknologi tinggi.

    “Saya percaya ia menjadi dorongan yang kuat kepada pemulihan ekonomi kedua-dua negara, dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

    Beliau juga berharap China dan Malaysia akan meningkatkan kerjasama dalam pemerolehan, penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran vaksin, supaya kedua-dua negara dapat membentuk perlindungan kesihatan terhadap sebarang krisis kesihatan awam pada masa hadapan.

    Beliau berkata meskipun kemunculan berterusan varian baharu meningkatkan kesukaran kepada perjuangan global menentang COVID-19, beliau percaya virus itu boleh diatasi.

    “Saya yakin apabila vaksin dilancarkan di seluruh dunia, selagi kita memperkasakan diri dengan keyakinan yang teguh, semangat perpaduan dan dasar saintifik, kita akhirnya akan berjaya keluar dari fasa gelap pandemik dan berjaya mengatasinya,” katanya.

    Ouyang berkata China telah memenuhi komitmennya untuk menjadikan vaksin COVID-19 sebagai keperluan awam global. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...