Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Perdagangan Feb catat peningkatan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Nilai jumlah perdagangan Brunei pada Februari 2022 mencatatkan sebanyak $2,251.1 juta, peningkatan sebanyak 50.1 peratus daripada $1,499.4 juta pada bulan yang sama tahun 2021.

    Manakala, bagi perubahan bulan-ke-bulan, jumlah perdagangan bagi bulan Februari 2022 meningkat sebanyak 0.7 peratus berbanding bulan Januari 2022, menurut kenyataan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Februari 2022.

    Sementara itu, jumlah eksport meningkat 54.8 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,447.0 juta berbanding $934.8 juta pada Februari 2021.

    Ini disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian kepada $1,113 juta (Februari 2022) daripada $759 juta (Februari 2021).

    Di samping itu, eksport kimia meningkat $289.5 juta pada bulan Februari 2022 daripada $150.6 juta pada bulan sama tahun 2021. Peningkatan eksport bahan api galian didorong oleh peningkatan nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum.

    Peningkatan eksport minyak mentah disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$101.03 setong pada bulan Februari 2022 daripada AS$63.73 setong pada bulan Februari 2021, dan juga peningkatan jumlah isi padu kepada 67.46 ribu tong sehari daripada 63.90 ribu tong sehari bagi tempoh yang sama.

    Begitu juga bagi nilai eksport LNG yang disebabkan oleh peningkatan harga purata kepada AS$11.45 per MMBtu pada bulan Februari 2022 daripada AS$7.17 per MMBtu pada bulan Februari 2021.

    Manakala nilai eksport produk petroleum daripada aktiviti hiliran meningkat kepada $553.1 juta, yang mana komoditi utama adalah bahan api diesel automotif.

    Dari segi komoditi mengikut seksyen, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport negara iaitu 76.9 peratus, diikuti dengan bahan kimia (20%) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.8%).

    Pasaran eksport utama pada bulan Februari 2022 adalah Jepun dengan 20.6 peratus, diikuti oleh Australia (20.3%), dan China (18.2%). Komoditi eksport terbesar ke negara Jepun adalah bahan api galian.

    Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan peningkatan $804.1 juta (Februari 2022) daripada $564.6 juta (Februari 2021) terutamanya disebabkan oleh peningkatan import bahan api galian.

    Lima komoditi import utama pada bulan tersebut adalah bahan api galian dengan 68.2 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (11.2%), makanan (6.5%), barang-barang keluaran kilang (4.6%) dan bahan kimia (4.5%).

    Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 58.6 peratus jumlah import diikuti oleh import barang modal (37.1%) dan barang penggunaan (4.3%).

    Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Kazakhstan dengan 32.3 peratus, diikuti oleh Iraq (17.4%), Australia (10.9%) dan Singapura (9.6%) dengan komoditi import terbesar adalah bahan api galian.

    Mengikut mod pengangkutan, pada bulan Februari 2022, peratus yang tertinggi bagi kedua-kedua eksport dan import adalah mod pengangkutan laut berjumlah $2,149.3 juta atau 95.5 peratus.

    Ia diikuti oleh pengangkutan udara ($75.6 juta atau 3.4 peratus) dan melalui darat ($26.1 juta atau 1.2 peratus).

    Laporan penuh IMTS bagi bulan Februari 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...