Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Berbanding 2018, jumlah perdagangan dua hala antara Indonesia dan Brunei telah melonjak kepada 360 peratus kepada AS$374.2 juta pada 2021.
Sepanjang empat tahun kebelakangan, Indonesia juga terus menikmati surplus dalam perdagangan bersama Brunei yang antaranya hasil daripada usaha promosi eksport yang intensif di samping sokongan daripada pelbagai pihak.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Duta Besar Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko semasa sesi perkenalan bersama ahli-ahli KADIN Komite Bilateral Brunei Darussalam.
“Saya yakin pencapaian ini akan berlanjutan dan terus meningkat melalui kerjasama yang semakin erat dengan pihak berkepentingan terutama KADIN Komite Bilateral Brunei Darussalam,” tambah beliau.
Pertemuan TYT Dr Sujatmiko bersama pengurus KADIN Komite Bilateral Brunei Darussalam yang diketuai Acep Prasojo tersebut telah berlangsung secara hibrid di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Bandar Seri Begawan (BSB), kelmarin.
Perbincangan sepakat bahawa pandemik bukan penghalang bagi eksport ke Negara Brunei Darussalam yang terbukti dengan nilai eksport Indonesia ke Brunei pada 2021 meningkat 63.9 peratus, menjadi AS$211.4 juta, dibandingkan pada tahun sebelumnya.
KADIN Komite Bilateral Brunei Darussalam bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Indonesia (IBC) untuk bersama-sama KBRI BSB mengusahakan penyelesaian terhadap isu-isu yang menjadi halangan eksport Indonesia yang termasuklah dalam menurunkan kos logistik melalui peningkatan kesalinghubungan laut dan udara, meluaskan jaringan perniagaan melalui promosi perdagangan, pemadanan perniagaan serta pembudayaan UMKM Indonesia di Brunei.
Kerjasama juga disasarkan untuk menarik pelaburan Brunei terutama dalam projek Ibu Kota Nusantara, serta keberhasilan perusahaan Indonesia dalam tender projek pembangunan di Brunei.