Perdagangan M’sia berada di landasan pemulihan

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Pembukaan semula hampir semua aktiviti ekonomi sejak Jun merupakan pendahuluan bagi pemulihan perdagangan Malaysia walaupun peningkatannya mungkin dihadkan oleh permintaan luaran yang lemah dalam keadaan ekonomi maju yang masih bergelut menangani penularan pandemik COVID-19, kata seorang ahli ekonomi.

Momentum perdagangan kekal lemah pada Mei di tengah-tengah pembukaan semula berperingkat aktiviti ekonomi ketika negara beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir selama sebulan. Malaysia ketika ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, 2020, yang membenarkan pembukaan semula hampir kesemua aktiviti ekonomi.

“Ini akan menjadi pelopor bagi perdagangan untuk pulih, walaupun secara perlahan-lahan, kerana COVID-19 masih kekal menjadi sumber cabaran utama kepada rakan dagangan utama kita,” kata Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd Dr Rosnani Rasul dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada pemulihan perdagangan global yang dipacu antara lainnya oleh daya tarikan ringgit.

Ketika ini ringgit didagangkan pada paras 4.2820-4.3000 berbanding dolar AS. Eksport Malaysia pada Mei turun sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan lebih besar berbanding – 23.8 peratus pada April berikutan penurunan dalam semua sektor yang diterajui perlombongan sebanyak 49.1 peratus tahun ke tahun yang terjejas berikutan pengurangan pengeluaran terbaharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ini diburukkan lagi dengan penutupan beberapa pelabuhan di rantau ASEAN berikutan langkah-langkah membendung penularan COVID-19 oleh negara masing-masing dan permintaan terhadap barangan Malaysia juga terjejas oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), zon Eropah dan Jepun. Bagaimanapun, lebihan perdagangan melantun semula pada bulan itu kepada RM10.4 bilion, peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan besar import berbanding eksport, pemulihan berbanding defisit kecil sebanyak RM3.4 bilion pada April. – Bernama