Perdagangan Sarawak-China RM18.91 bilion

KUCHING, 23 April – Nilai perdagangan antara Sarawak dan China meningkat 16.8 peratus kepada RM18.91 bilion tahun lepas dengan eksport dari negeri itu mencatat RM12.07 bilion dan import bernilai RM6.8 bilion.

Eksport utama Sarawak ke China merangkumi gas asli cecair (LNG), minyak sayuran, jentera elektrik dan peralatan, manakala import melibatkan bahan kimia, kok, lignit, karbon, bijih aluminium, logam asas dan komoditi lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Sarawak mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil serta mesra peniaga, selain melindungi kepentingan pelabur.

“Pelaburan dari China baru-baru ini adalah membabitkan kilang silikon mangan oleh Pertama Ferroalloy (Hong Kong) bernilai RM1.05 bilion, kilang pembuatan solar bersepadu oleh LONGi Technology bernilai RM2.18 bilion dan kilang keluli bermutu tinggi oleh WenAn Steel bernilai RM17 bilion.

“Pelaburan langsung asing terbaharu yang akan dibawa masuk ialah daripada Dongjin Semichem dari Korea Selatan dengan pelaburan US$133 juta bagi menghasilkan agen pembusa yang digunakan secara meluas dalam produk kelengkapan rumah, serta sektor elektronik dan automotif,” katanya yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan.

Awang Tengah berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada bengkel ekonomi dan taklimat dasar berhubung kerjasama antara China dan Sarawak di sini, hari ini. – Bernama