Perdana Menteri Bangladesh tiba bagi lawatan rasmi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, Puan Yang Terutama Sheikh Hasina dan rombongan hari ini tiba di Bandar Seri Begawan bagi lawatan rasmi ke negara ini selama tiga hari.

Berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Puan Yang Terutama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir mengalu-alukan ketibaan Puan Yang Terutama ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan selaku menteri pengiring, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Rakyat Bangladesh, TYT Haji Haris bin Othman dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, TYT Naib Marsyal Udara (B) Mahmud Hussain.

Duli Yang Teramat Mulia bersama-sama dengan Puan Yang Terutama seterusnya beredar ke pentas khas untuk menerima tabik hormat diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.

Puan Yang Terutama kemudiannya beredar memeriksa Perbarisan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Puan Yang Terutama seterusnya diperkenalkan kepada menteri-menteri kabinet; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei; pemerintah ABDB; ketua-ketua perwakilan asing negara-negara ASEAN di Negara Brunei Darussalam dan setiausaha-setiausaha tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh. Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat Bangladesh telah dijalin pada 5 Mei 1984. Semenjak itu, kedua-dua buah negara bekerjasama secara meluas dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perdagangan, pelaburan dan pertanian.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan berangkat bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Rakyat Bangladesh, PYT Sheikh Hasina.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersama PYT Sheikh Hasina menerima Tabik Hormat yang diiringi dengan lagu kebangsaan kedua-dua buah negara.
PYT Sheikh Hasina ketika memeriksa Perbarisan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.