Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Perdana Menteri Malaysia tunai impian ‘wartawan cilik’

    ALOR SETAR – Impian ‘wartawan cilik’ Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani yang ingin bertemu dan menemu ramah Perdana Menteri menjadi kenyataan.

    Kanak-Kanak berusia 12 tahun itu dipertemukan dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di sini dan diberi kesempatan menemu ramah pemimpin nombor satu negara berkenaan.

    Dalam sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq bertanyakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri berkaitan makanan kegemaran, rutin harian dan sama ada beliau mengenali juadah kampung.

    Perdana Menteri turut ditanya mengenai perancangannya jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi dan Ismail Sabri menjawab beliau berharap dapat menghapuskan kemiskinan serta miskin tegar menjelang 2025.

    “Yang pertamanya kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi, yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar, kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

    Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tertawa selepas mendengar telatah wartawan cilik tular, Muhammad Haziq pada sesi minum petang selepas ditemu ramah di salah sebuah hotel terkemuka di Alor Setar. – Bernama
    Muhammad Haziq yang menerima jolokan wartawan cilik selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar di Bukit Selambau. – Bernama

    “Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq,” katanya.

    Selepas sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq yang ditemani ibunya Nur Shakilla Zainol, 33, dan beberapa ahli keluarga lain memberitahu Bernama bahawa dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemu ramah perdana menteri.

    “Saya sangat berbesar hati, seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa perdana menteri.

    “Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya,” kata Muhammad Haziq.

    Sebelum ini, Bernama melaporkan hasrat Muhammad Haziq untuk bertemu Datuk Seri Ismail Sabri dan menemu ramah beliau jika diberi kesempatan.

    Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani tular. Video itu, yang dimuat naik di Facebook Putra Mar pada 24 Januari lepas, telah mendapat 1.2 juta tontonan.

    Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya telefon bimbit.

    Muhammad Haziq juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...