PARIS, 30 MAC – Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne akan bertemu wakil pertubuhan kesatuan sekerja pada 5 April ini bagi membincangkan pembaharuan pencen yang dilanda kontroversi, kata timbalan setiausaha agung Konfederasi Buruh Demokratik Perancis (CFDT), Marylise Leon kelmarin.
Kelmarin, setiausaha agung CFDT, Laurent Berger berkata kesatuan-kesatuan sekerja telah pun menerima jemputan rasmi daripada ketua kerajaan Perancis itu.
“Jelas, tarikh pertemuan ditetapkan pada Rabu depan. Kami akan menyertai mesyuarat antara kesatuan dan berbincang dengan perdana menteri dan hampir semua organisasi memberi maklumat balas positif,” lapor Sputnik memetik Leon berucap kepada badan penyiar Perancis, BFMTV.
Laporan itu bagaimanapun menyatakan bahawa Gabungan Am Buruh (CGT) masih belum mengesahkan tarikh itu.
Pembaharuan pencen yang dicadang oleh kerajaan Perancis pada Januari dan diterima pakai pada Mac, menaikkan had umur persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun. – Bernama