Perdana Menteri Somalia dipecat

MOGADISHU, 26 JULAI – Parlimen Somalia memecat Perdana Menteri Hassan Ali Khaire daripada jawatannya dalam usul tidak percaya semalam kerana gagal membuka laluan ke arah pilihan raya demokratik sepenuhnya, kata speaker parlimen.

Seramai 170 daripada 178 ahli parlimen menyokong usul tidak percaya itu, dan penyingkiran disokong oleh Presiden Mohamed Abdullahi Farmajo, yang melantik Khaire sebagai perdana menteri pada Februari 2017.

Menteri-menteri telah tiba di Perhimpunan Agung semalam untuk membincang penganjuran pilihan raya negara pada 2021.

“Selepas mendapat tahu kerajaan telah gagal dalam janjinya untuk menyediakan haluan yang jelas yang membuka laluan kepada pilihan raya pada 2021, parlimen mengadakan usul tidak percaya ke atas kerajaan dan perdana menteri Hassan Ai Khaire,” beritahu speaker parlimen Mohamed Mursal kepada wartawan.

“Presiden kerajaan Somalia akan melantik perdana menteri dan kerajaan yang akan sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya,” tambah beliau.

Presiden Farmajo seterusnya melantik Timbalan Perdana Menteri Mahdi Mohamed Guled untuk bertindak sebagai perdana menteri sementara menunggu pelantikan seorang pengganti kepada Khaire.

Kerajaan pusat, dipengerusi oleh Farmajo, mengawal sebahagian dari wilayah Somalia dan sedang berdepan pemberontakan daripada kumpulan militan Al-Shabaab.

Buat masa sekarang, Somalia mempunyai sistem yang kompleks di mana wakil khas memilih penggubal undang-undang yang seterusnya mengundi untuk presiden. – AFP

Gambar fail menunjukkan Perdana Menteri Hassan Ali Khaire bercakap menerusi telefon bimbit di Mogadishu. – AFP