Perdana Menteri Syria dipecat

DAMSYIK, 12 JUN – Presiden Syria Bashar al-Assad semalam memecat perdana menteri empat tahun, tatkala negara itu bergelut dengan krisis ekonomi dan bantahan baharu.

“Presiden Assad mengeluarkan dekri nombor 143 untuk tahun 2020, yang melucutkan jawatan perdana menteri Imad Muhammad Dib Khamis,” kata pejabat presiden dalam satu
kenyataan.

Khamis, 58, telah menjadi perdana menteri Syria sejak 2016.

Beliau diganti oleh Menteri Sumber Air, Hussein Arnous untuk tempoh sementara sebelum pilihan raya perundangan yang dijangka diadakan pada bulan depan.

“Assad menyerahkan tugas perdana menteri serta tugas lain kepada Hussein Arnous,” kata pejabat presiden.

“Kerajaan sedang meneruskan kerja-kerjanya sehingga parlimen baharu dipilih.”

Seperti Khamis, perdana menteri baharu Arnous telah menjadi sasaran sekatan AS dan Kesatuan Eropah.

Pilihan raya parlimen dijangka diadakan di Syria pada awal tahun ini, tetapi ditunda dua kali disebabkan pandemik koronavirus. Tarikh baharu yang ditetapkan pada bulan lalu adalah 19 Julai.

Pemecatan Khamis didahului kritikan terhadap pengendalian krisis ekonomi oleh kerajaan. – AFP

Gambar fail menunjukkan Imad Khamis menjawab soalan wartawan selepas satu mesyuarat di ibu negara Syria, Damsyik.
– AFP