Pereka fesyen batik hasilkan penutup mulut dan hidung

KUALA LUMPUR, 6 MEI – Kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung susulan penularan wabak COVID-19, mencetuskan idea kepada seorang warga Argentina untuk menghasilkan produk itu dengan menggunakan fabrik batik.

Pereka batik Maureen Clarke, 42, berkata menerusi satu projek amal, lebihan fabrik batik digunakan untuk menghasilkan 30 penutup mulut dan hidung, hasil jualannya akan disalurkan kepada golongan tidak berkemampuan yang terjejas akibat wabak itu.

Beliau berharap dapat menghasilkan kira-kira 100 keping penutup mulut dan hidung dalam masa terdekat.

“Ia boleh dicuci dan digunakan semula untuk tidak membazir. Setakat ini kami me-nerima respon baik daripada pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Bekas pramugari Malaysia Airlines itu cuba menghasilkan lima prototaip berbeza bagi memastikan produknya mematuhi semua spesifikasi ditetapkan dan selamat untuk dicuci dengan tangan atau mesin.

“Buat masa ini saya jahit sendiri dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) tamat nanti saya akan bekerjasama dengan tukang jahit tempatan dan mengupah pelarian untuk menjahitnya,” kata Clarke. – Bernama

Penutup mulut dan hidung dihasilkan oleh pereka fesyen dari Argentina, Maureen Clarke, menggunakan lebihan kain batik. – Bernama