PARIS, 5 OKT – Pereka fesyen terkemuka Jepun, Kenzo Takada yang juga pengasas jenama global Kenzo, meninggal dunia akibat wabak COVID-19, di ibu negara ini, semalam.
Takada, 81, adalah pereka fesyen Jepun yang pertama berjaya bertapak di Paris dan terkenal dengan hasil ilham bercorak floral.
“Hari ini, optimisme, semangat untuk hidup dan kemurahan hati beliau terus menjadi tonggak Maison (Rumah) kita. Beliau akan sangat dirindui dan diingati selalu,” kata rumah fesyen Kenzo yang diasaskan mendiang. Takada melancarkan koleksi pertama beliau di Paris, kira-kira 50 tahun lalu.
“Setiap dinding, setiap langit dan setiap orang yang melewati, membantu saya membina koleksi,” katanya suatu ketika dahulu mengenai Paris yang menjadi tempat beliau bermastautin.
Mendiang bersara pada 1999, iaitu enam tahun selepas menjual jenamanya kepada konglomerat mewah, LVMH, dan mendedikasikan masanya untuk projek ‘one-off’, termasuk satu koleksi reka bentuk pada awal tahun ini. – AFP


























